ANGELA by Jose Feliciano

" />
Hendak ku pikat burung di hutan
tapi disambar helang sejoli
hendak ku jerat hati mu teman
jadi perindu blog ku ini

Selasa, 23 Disember 2008

APABILA SI COMEL BERTAHI LALAT



Manis kelihatannya apabila si comel ini bertahi lalat di muncung. Tertarik pula saya melihatnya dan cuba untuk menangkapnya tetapi kuching ini liar rupanya. Cuma jinaknya pada tuannya seorang sahaja yang sering memberikannya makan.

POKOK KELAPA BERTUNAS LAGI



Pernahkah anda melihat kelapa bertunas ketika pokoknya sedang membesar? Setahu saya bertunasnya cuma pada buah kelapa yang sudah tua. Tapi lain pula yang ini, dipangkal pokoknya tumbuh satu lagi tunas yang mungkin apabila besar nanti pokok kelapa ini akan bercabang.

Beginilah keadaanya pokok kelapa itu yang kini tumbuh subur di tanah bersebelahan rumah ibu ku di Kampung Jiboi Baru, Ampangan, Negeri Sembilan.

Kata ibu ku, kemungkinan, pokok asalnya (kakak) akan beralah dan membiarkan pokok baru (adik) membesar. Walau apapun kita lihat sedikit masa lagi, apakah akan terjadi seterusnya.

KIKI DALAM KENANGAN




Patah tumbuh hilang berganti. Tetapi yang patah dan yang hilang tidak sama dengan yang baru. Kali pertama menemuinya hati telah terpikat. Gelagatnya begitu melucukan dan kejinakannya menjadi satu tarikan kepada sesiapa jua yang mengunjungi Ladang Ternakan Rusa di Juasseh, Kuala Pilah.

`Kiki’ begitu istimewa diantara ratusan rusa yang diternak di ladang berkenaan. Membesarnya tidak dimanjai oleh ibu, malah ditinggalkan begitu sahaja tanpa dipedulikan walau sesaat pun. Kehidupan Kiki begitu terasing, sering bersendirian dan temannya adalah penjaga ladang yang telah membesarkannya ketika usianya enam hari dan disisihkan oleh ibu sendiri.


Tapi kini, Kiki telah tiada. Saya baru mengetahuinya sebaik sahaja menghubungi salah seorang penjaga ladang berkenaan pada petang tadi (23 Disember 2008). Kiki adalah diantara puluhan rusa yang disembelih sempena menyambut Hari Raya Puasa yang lalu. Dalam kumpulan rusa yang dimasukkan di rumah sembelih, rupa-rupanya Kiki ada di dalam kumpulan itu. Kesemua rusa-rusa itu sukar untuk dibezakan, kelihatan semuanya serupa. Tanpa disedari, Kiki turut disembelih. Disedari sebaik sahaja dagingnya mahu dilapah.

Alangkah terharunya penjaga Kiki yang sering memanjakannya sejak kecil lagi. Malah kehidupannya seperti sudah sebati dengan manusia. Namun, apalah daya, kelalaian yang berlaku telah mengorbankan Kiki yang merupakan satu-satunya rusa yang terlalu istimewa bagi ku di ladang itu.





Walaupun kini, ada `Timah’ yang telah dijinakkan di ladang itu, namun tidak sama dengan Kiki yang kejinakannya itu secara tersendiri.

Ahad, 23 November 2008

KASIH SEORANG SAHABAT

Dua tiga minggu ni fikiran celaru sikit. Tak tahulah kenapa? Mungkin juga disebabkan teman sekerja ku sudah berpindah ke jabatan lain. Rasa seperti kehilangan juga sebab selalu bersama dengan dia. Tak kira dalam apa waktu sekalipun, teman ku ini sering menemani aku terutama apabila tugasan ku hingga ke lewat malam. Kami sering berkongsi pendapat dan saling bantu membantu.

Berbelas tahun aku bersama dengannya. Susah dan senang selalu bersama. Seperti semangat ku hilang tiba-tiba. Mengambil masa lama juga untuk aku pulihkan kembali keadaan ku ini yang kadang-kadang terpaksa akur pada keadaan yang sama sekali tidak aku sangkakan.

Entahlah sering aku mengeluh sendirian, mencari di mana kesilapan sebenarnya.

Ku sangkakan panas hingga ke petang,
rupanya hujan di tengahari,
ku harapkan persahabatan kekal aman,
namun terbatas di pertengahan.

Begitulah keadaannya. sejak dia bertukar, aku langsung tidak menerima panggilannya, begitu jugalah di sebaliknya, bila aku call, panggilan aku tidak dijawap. Marahkah? Merajukkah? Dan macam-macam persoalan timbul. Tidakkah sedikitpun di hatinya teringatkan kisah-kisah lama sepanjang bersahabat bersama ku sehinggakan tiada sekelumitpun rasa rindunya pada seorang sahabat yang sentiasa mengingati dirinya?

Sepanjang persahabatan ku dengannya, aku mengganggapnya sebagai sahabat yang begitu rapat dengan ku. Apatah lagi bila aku mengenali ibu bapa dan seluruh keluarganya. Pernah terpanggil hati ku untuk melawatnya ketika keadaannya tidak sihat dan pernah aku menasihatinya apabila sesuatu tindakannya tersasar. Namun, pada luarannya ku lihat dia tidak pernah mengambil hati dengan setiap teguran ku. Tetapi di dalam hatinya aku tidak dapat menjangkakan apa sebenarnya yang berlaku.

Di akhir perpisahan kami, aku begitu terkilan kerana tiada salam perpisahan dihulurkan. Lidah seakan kelu untuk berkata-kata dan pandangan bagaikan sudah terlindung oleh jarak yang bersilang.

Walau apapun, sahabat ku, kau tetap aku ingati selalu. Sebagai seorang sahabat yang pernah dekat di hati ku. Akan aku kenang setiap budi baik yang dihulurkan. Kisah suka duka sepanjang bersama akan menjadi lipatan dalam sejarah hidup ku sebagai seorang sahabat yang pernah aku kenali suatu ketika dahulu.

Sabtu, 8 November 2008

BUAT MU RUBAATUL ADAWIYAH

“Kalau boleh nyawa ini ditukar ganti, ingin saja saya berikan nyawa saya. Apabila memandang ke liang lahad, terasa ingin saya terjun.”

Begitulah ungkapan kata-kata Rubaatul Adawiyah kepada saya ketika saya mengunjungi rumahnya yang masih suram dengan kehilangan orang tersayang sebagai tempat dia dan anak-anak bergantung hidup dan menumpang kasih.

Terasa semangatnya seperti telah dibawa pergi dan disemadikan bersama jasad yang pernah suatu ketika dicurahkan segala jiwa raga. Apakah esok akan datang sinar yang menjadi penyuluh kegelapan, memberi arah kepada sebuah kehidupan yang penuh dengan kebahagiaan?

Pastinya Allah Maha mengetahui. Segala ujiannya ada hikmah yang diberikan. Segalanya kehendak Allah. Ajal maut, jodoh pertemuan adalah ketentuanNya. Redha dan pasrah dengan segala yang berlaku.

Buat mu Rubaatul Adawiyah…

Kuatkan semangatmu. Anak-anak yang masih kecil itu, berilah kasih sayang dengan sepenuhnya dan didiklah ia dengan ilmu dunia dan akhirat, agar terubat kelukaan dan kesedihan dengan pemergian insan yang bergelar suami.

Usah didendami pada kezaliman yang dilakukan oleh seseorang yang tidak mempunyai hati dan perasaan terhadap suamimu. Penderitaan yang dialaminya itu telah menoktahkan bercerai nyawa dari jasad. Perginya ia dengan hati dan jiwa yang bersih, terhapus sudah segala dosanya di atas penganiayaan yang dilakukan oleh insan yang tidak langsung ada sifat belas kasihan terhadap dirinya.

Semakin kelam pandangan Rubaatul Adawiyah, sebaik sahaja melihat sekujur tubuh yang sudah lama tidak bermaya itu telah menghembuskan nafas terakhirnya. Ada rasa terkilan di hatinya kerana tidak berada di sisi suami di saat-saat perpisahan itu. Waktu itu, Rubaatul Adawiyah baru sahaja selesai menunaikan solat Zohor. Imannya masih teguh, percaya pada ketentuan Allah, kalau sudah sampai masanya, sesaatpun tidak boleh ditunggu, redha dengan pemergiaan suaminya.

Dengan linangan airmata, Rubaatul Adawiyah, menyingkap kembali kisah ketika hayat suaminya yang mengalami batuk sejak dua tahun lalu. Kegembiraan sekeluarga hanya dikecapi cuma seketika. Batuk yang dialami suaminya mengeluarkan ketulan darah yang begitu banyak. Hari demi hari penyakit yang dialami telah merosakkan keseluruhan organ dalamannya. Puas mencari penawar penyembuh penyakit, namun usaha kian buntu. Pengakhirnya, pergilah suami buat selama-lamanya meninggalkan anak-anak yang masih kecil di samping seorang isteri yang masih belum pulih semangatnya.

Teman-teman blogku, inilah salah satu kisah yang ingin ku kongsi buat tatapan dan renungan bersama. Kisah ini ku ketahui susulan daripada tugasan yang ku lakukan untuk menjejaki nasib mereka yang kurang bernasib baik yang memerlukan perhatian daripada Kerajaan Negeri. Kebanyakan tinjauan yang telah ku lakukan, telah membawa diri ku seolah-olah berada bersama-sama di dalam kehidupan mereka. InsyaAllah, semoga ada jalan penyelesaian yang terbaik dapat dilakukan buatmu Rubaatul Adawiyah dan anak-anakmu.



Isnin, 27 Oktober 2008

ZAMAN SEKARANG BUKAN LAGI ZAMAN MEMBODEK

Dipandang oleh BOS, biarlah diukur dengan tahap pencapaian kita dalam melaksanakan sesuatu tugasan sama ada yang diarahkan ataupun inisiatif sendiri. Walaupun kita tidak mengharapkan diri dihargai ataupun di sanjung tinggi, namun memadai dengan kepuasan hati kita sendiri kerana itulah sebenarnya tonggak kepada kejayaan yang berpanjangan bagi seseorang itu.

Apa maknanya jika kita mahu dipandang oleh BOS hanya kerana mempraktikkan strategi `MEMBODEK’, sedangkan kelemahan diri cuba diselindungkan. Sematkan sifat-sifat penuh yakin dalam diri dan bersungguh di dalam melaksanakan tugasan, barulah ada keredahan dan kerelaan tanpa paksa apabila diri kita di pandang oleh BOS. Untuk apa kita mahu dipandang oleh BOS dan dilayan dengan baik oleh BOS hanya sekadar melagukannya dengan kata-kata yang boleh menjatuhkan orang lain atau mengadu domba orang lain. Sifat `Talam Dua Muka’ namanya tu!!!

Begitu juga dengan menghadiahkan `Bunga Emas’ kepada BOS, sedangkan hakikat sebenarnya, hampeh!!! Jangan salahkan diri sendiri nanti, jika suatu ketika budi yang ditabur tidak dipandang oleh BOS. Sudahnya, mula mengungkit-ungkit.

Oleh itu kembalilah kepada landasan yang betul apabila diri diberikan kuasa atau sedikit kelebihan untuk memilih. Jangan diambil kesempatan sehingga boleh menyentuh hati dan perasaan orang. Buatlah timbang tara yang memandang dari pelbagai sudut, tanpa mementingkan diri sendiri. Kelak nanti senyum tawa akan bertukar kepada ratapan menyalahkan diri sendiri. Allah itu maha adil, kerana apabila yang jujur dan ikhlas itu dipersendakan, maka akan datang musibah pada yang khianat.


Selasa, 7 Oktober 2008

KENANGAN DI HARI RAYA


Bergambar bersama Menteri Besar dan rakan-rakan di Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan pada hari pertama Hari Raya


Antara rakan-rakan yang bertugas pada Majlis Rumah Terbuka Kerajaan Negeri Sembilan


Bersama suami bergambar kenangan dengan Menteri Besar dan isteri semasa rumah terbukanya di Kampung Tanjung, Rantau


Bersama rakan-rakan media di Negeri Sembilan


Bersama rakan media bergambar dengan Menteri Besar dan isteri


Bersama rakan-rakan sepejabat di hari raya ke-4 di Kampung Tanjung, Rantau

Isnin, 1 September 2008

CATATAN HATI ANAK MERDEKA 1

Entah mengapa sambutan Ambang Merdeka pada kali ini terasa sedih yang teramat sangat. Sebaik sahaja selesai sesi temuramah bersama YAB. Menteri Besar Negeri Sembilan, saya tidak terus ke khemah VIP untuk menyaksikan tibanya detik 12 malam. Terasa sebak dada ini dan sayu hati ini apabila melihat ribuan manusia yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat membanjiri padang Majlis Perbandaran Seremban, di mana berlangsungnya sambutan Ambang Merdeka.
Yang datang bertali arus, memimpin dan mendukung anak-anak kecil untuk sama-sama memeriahkan sambutan. Jelas keriangan pada wajah mereka. Gurau senda dan gelak tawa meriuhkan lagi suasana. Berlegar-legar mata ini memandang di setiap penjuru, memerhati dan mendengar setiap bicara mereka. Indah belaka dan yang penting kehadiran mereka pada malam itu adalah untuk berhibur dan bersantai bersama keluarga dan sahabat handai.
Berkata dalam hati ini dan timbul persoalan di benak fikiran ini:

Apakah esok yang mendatang
dapat kita kecapi keindahan yang serupa?
Apakah esok yang mendatang
dapat kita jejaki lagi hamparan hijau di bumi indah ini?
Dan
Apakah esok yang mendatang
dapat kita laungkan semula kemerdekaan negara
diiring seri percikan cahaya indah di langit?

Semakin pantas kaki ku melangkah, mencari teduh tika gerimis. Jauh aku merenung mencari jawapan pada diri. Dalam kerakusan manusia yang melayan emosi gelora, tidakkah terfikir insan-insan ini, ingin terus terbela dan aman kehidupannya. Memadai kesederhanaan yang dirasai, cukup bekalan untuk disuap dan diminum.

Tapi, dimanakah letakya hati dan perasaan? Sehinggakan segelintir mereka, tidak mempedulikan lagi keikhlasan dalam perjuangan. Yang penting bagi mereka adalah ketamakan, timbunan harta berjuta-juta dan kepuasan hati yang meletakkan perasaan pada tahap yang tertinggi. Melangkau akal dan fikiran, sehinggakan tidak mempedulikan lagi akibat yang bakal mendatang. Berpecah sesama kumpulan, saling menuding jari dan salah menyalahkan. Apakah yang dicari sebenarnya? Kepuasan diri? Mahu hidup terus mendabik dada? Seolah-olah dunia ini Ana Yang Punya?

Sungguh syahdu hati ku mengenang semuanya.

Jika ribut dan taufan yang datang,
masih boleh dipujuk hati
akibat kejadian alam
tapi...

kalau ribut dan taufan yang datang
dari kerakusan manusia
penuh tamak dan kotor hatinya
tidak mungkin dapat
keampunan dan kemaafan.

Khamis, 28 Ogos 2008

Dato' Siti Rahmah pejuang bangsa


Entah mengapa hari itu, perjalanan hidupnya terasa begitu sepi. Terasa jauh dari anak cucu dan sahabat handai. Ingatannya kembali kepada arwah suami yang sudah lama meninggalkannya. Airmatanya tiba-tiba mengalir setiap kali berbicara sendiri. Kesedihannya sudah melangkaui ketabahannya.Kehadiran saya di rumahnya yang terletak di Rumah Rakyat Chembong, menjawab persoalan di hati. Secara tiba-tiba saya teringatkannya sebaik sahaja melalui jalan Rembau - Seremban. Ingin singgah seketika menemuinya bertanyakan khabar dan bersalaman sebagai tanda kasih berpanjangan.Rupa-rupanya, wanita yang bernama Dato’ Siti Rahmah itu masih dibelenggu kesedihan akibat kecederaan di kakinya kerana tercurah air panas yang sedang mendidih. Agak lama juga dia terpaksa duduk di rumah kerana tidak mampu untuk berjalan seperti biasa. Sepanjang bersendirian di rumahlah, berbagai-bagai perasaan bermain di fikirannya. Mudah benar tersinggung, sunyi mencengkam jiwa dan terasa seperti jauh dipinggirkan.Bagaimanapun, rajuk di hati wanita yang telah menjangkau usia 82 tahun itu, terubat juga apabila selang setengah jam kehadiran saya, salah seorang anaknya datang menjengok.Dato’ Siti Rahmah Kassim, dialah salah seorang wanita yang begitu kental semangat juangnya dan cekal dalam mengharungi setiap detik perjalanan hidup ke arah satu tujuan iaitu `kemerdekaan’.Pengorbanan sejatiadalah dari keikhlasan dan keyakinan diri.kepuasan diriadalah melihat bangsa dan negarahidup bersatu ditanah tumpah darah sendiri

Anak bangsa sedarlah dari leka

Akan bertambah bertuah bumi ini, jika peluh yang membasihinya adalah keringat daripada anak bangsa yang pandai menghargai keamanan dan keharmonian. Malah akan bertambah bertuah lagi bumi ini, jika kaki-kaki yang memijaknya adalah anak bangsa yang kental semangatnya dan kuat jati dirinya. Sesungguhnya, terlalu besar anugerah yang Allah limpahkan untuk dinikmati oleh anak bangsa yang menghuni di muka bumi Malaysia ini. Jika pandai dimanfaatkan setiap pancaindera yang dianugerahkan, sudah pasti anak bangsa mampu berbakti dan berbudi di bumi sendiri. Mampu meneruskan perjuangan generasi lalu, yang sanggup bersabung nyawa demi memberi kesenangan kepada anak cucu mereka.Namun, agak terkilan rasanya, apabila setiap penjuru pandangan mata, tertumpu kepada golongan pendatang asing. Mereka pantas dan rakus merebut peluang untuk mengisi ruang yang tidak mahu diterokai oleh anak bangsa di bumi ini. Mereka jadikan bumi Malaysia ini sebagai kancah menghimpunkan permata. Dari jauh sudah dilihatnya ada kekayaan yang boleh diterokai, biarpun permulaannya sanggup bersusah dan merempat demi mencari sesuap nasi.Sudahnya, tsemakin ramailah yang membanjiri negara ini dan tidak mustahil suatu ketika nanti semakin cerdik pula mereka untuk menyiapkan diri menjadi tuan di bumi orang. Takut pula nanti, dalam diam sudah terencana hemah berhelah yang mampu menggugat ketenteraman negara. Akhirnya, tergadailah maruah bangsa dan negara.

Ahad, 24 Ogos 2008

AKU BUKAN PENGKHIANAT BANGSA

Ku genggam
tanah bumi bertuah
bersama tekad sebati di jiwa
demi menjaga maruah bangsa
ku simpul mati
ikatan janji
aku bukan pengkhianat bangsa

langkah ku
tak akan songsang
pada jarak yang pasti
akal ku
tak akan kecundang
walau ditabur emas berguni
aku bukan pengkhianat bangsa
sanggup menggadai maruah negara

berpijak aku di bumi ini
bukan pencalar berulang luka
bukan perebut tamak haluba
bukan pencetus porak peranda
bukan perakus penghancur negara

tapi aku
anak bangsa merdeka
daun beralih muda
bersama tekad
menjadi benteng
menahan amukan rasa
menahan nafsu gelora
pada mereka yang jasadnya
tanpa jiwa
tanpa rasa
tanpa sayang
walau secalit kenangan

aku bukan pengkhianat bangsa
membuang permata yang ada
menabur kaca-kaca berbisa
menyubur sembilu melata
menjerat nyawa
pada yang tidak berdosa

Isnin, 18 Ogos 2008

OLEK DEN DAH SOLOSAI

Alhamdulillah…bak kata orang Nogori, solosai dah olek den…penatnya macam buat kenduri kahwin…Mudah melafazkan, tapi untuk melaksanakannya, terpaksa berdepan dengan berbagai-bagai kerenah. Bagaimanapun, dengan berkat usaha gigih, kesepakatan, semangat kerjasama dan yang paling penting keikhlasan, program Kembara Amal Pelancongan Negeri Sembilan (KAPNS) 2008 yang dianjurkan oleh Kelab Akhbar Negeri Sembilan atau singkatannya KELANA berlangsung dengan jayanya.
Pada mulanya terasa gentar juga, takut tidak mendapat sambutan. Malahan di kalangan wartawan di Negeri Sembilan ni bukanlah ramai sangat, apatah lagi kebanyakan mereka terpaksa berdepan dengan tugasan yang tidak tentu masa. Berlandaskan kepada `kebersihan hati’ antara sesama ahli, tanpa menyimpan perasaan buruk sangka, curiga mencurigai, salah menyalahkan, kata mengata, cemburu mencemburi, dengki mendengki dan khianat mengkhianati, program ini menempa kejayaan di luar dugaan. Hanya pada Allah SWT kami melafazkan rasa kesyukuran di atas limpah nikmat dan kerahmatan yang diberikan kepada kami semua.
Kerjasama yang kami perolehi daripada pihak kerajaan negeri, terutama daripada peringkat kepim pinannya Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Dato’ Norzam Mohd Nor, Exco-Exco Kerajaan Negeri, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan, memberi semangat kepada kami untuk berusaha bersungguh-sungguh agar KAPNS ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Begitu juga kepada jabatan dan agensi kerajaan seperti Unit Penggalak Pelancongan (UPP), Tourism Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat Muzium Lukut, Kraftangan Negeri Sembilan, Majlis Perbandaran Seremban, Jabatan Keselamatan Jalan Raya, RTM dan Negeri FM serta Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Sembilan, kami amat hargai kepercayaan dan keyakinan yang diberikan untuk KELANA menganjurkan program KAPNS ini.

Tidak kami lupa kepada syarikat swasta yang turut membantu dan memberikan kerjasama yang padu seperti ExxonMobil, AFQ, Pencetakan Cahaya Murni, Tiara Beach Resort dan Samsung, jasa kalian kami sanjung tinggi.

Budi diberi penghias diri
Dalam ingatan jadi kenangan
Walau jauh melangkah pergi
Jasa dikenang sepanjang zaman

Presiden KELANA Encik Razali Pilus…teruskan perjuangan sebagai pemimpin yang meletakkan persatuan sebagai lambang menyatupadukan ahli dengan sifat-sifat terpuji, tanpa mengejar kepentingan peribadi. Teruskan perjuangan tanpa menjadikan persatuan sebagai badut untuk mencari keuntungan. Semoga keikhlasan yang lahir dari ketulusan hati itu, melimpahkan sejuta kerahmatan yang berpanjangan kebahagiaannya. Amin.

Jangan dicalar sekeping hati
Kalau jiwa kuat imannya
Jangan digadai maruah diri
Kalau diri sempurna sifatnya.



Rabu, 13 Ogos 2008

KERANA WANG RM10

Tak pasal-pasal kerana wang RM10 pihak yang menganjurkan program Pencarian Harta Karun gagal dalam misinya. Aku tak tahulah apa kesudahannya selepas tu. Mungkin teruk agaknya pihak penganjur bersoal jawab dengan peserta-peserta yang menyertai program tersebut. Aku mendengar cerita ini semasa dinner bersama kakak dan anak-anak buah di Restoran Pak Wan Nasi Ayam yang terletak di Bandar Senawang.

Bermula kisahnya, ada sekumpulan pekerja ukur sedang membuat kerja-kerja ukur di salah sebuah kawasan yang bersemak samun dan bolehlah dikatakan belantara kecil juga. Semasa mereka sibuk membuat kerja, ternampaklah oleh mereka sekeping wang RM10 terletak pada sebatang kayu di tengah-tengah semak tu. Apa lagi salah seorang daripada mereka ambillah wang itu dan rezeki katanya. Apa tidaknya, terjumpa wang di tengah belantara kecil. Mereka pun tanpa berfikir panjang ambil wang tersebut dan simpan di dalam poket. Kerja-kerja ukur diteruskan seperti biasa.

Bagaimanapun, kehairanan juga sekumpulan pekerja ukur itu bila melihat bersilih ganti sekumpulan orang datang menghampiri kawasan berkenaan dan memerhati dari bawah sampai ke atas, kayu yang terpacak di tengah semak samun tu. Fikir punya fikir, barulah mereka faham, mungkin wang RM10 yang diambilnya tadi ada kena mengena dengan program Pencarian Harta Karun oleh pasukan-pasukan yang menghampiri kawasan belantara kecil itu.

Emmm….pekerja ukur tu melihat sahaja gelagat mereka semua yang seperti tertanya-tanya sendiri. Wang RM10 yang diambil oleh pekerja ukur tadi tidak pula diletakkan balik, malah mereka buat tak tahu sahaja, mungkin malu agaknya nak mengaku.

Apapun, saya boleh buat kesimpulan, teruk agaknya pihak penganjur nak menjawab soalan yang berkaitan dengan wang RM10 tu.

Itulah pasal, banyak soalan lain lagi boleh dikemukakan, yang pegi letak wang kat belantara kecil itu apa pasal????????

Kisah mengenai wang RM10 ni terjadi juga kepada emak yang tiba-tiba buka tong sampah depan rumah, ternampak sekeping kertas merah yang mempunyai nilai. Diambilnya wang tersebut, tapi lepas itu habis semua anak-anak di taliponnya bertanyakan kalau-kalau ada diantara mereka yang terbuang wang berkenaan. Tapi tak pula ada? Hairan juga emak memikirkan hal itu. Tapi sebelum itu adalah dia nampak budak-budak mundar mandir berhampiran tong sampah berkenaan, ada yang membuka penutupnya dan melihat di dalam tong dan kemudian menutupnya semula. Kemudian budak-budak tu terus beredar.

Mungkinkah mereka yang empunya wang tersebut? Kalau ia, mengapa diletakkan di dalam tong sampah tepi jalan? Adakah wang RM10 itu rezeki bagi orang yang menjumpainya?

Ahad, 13 Julai 2008

DENDAM YANG TERSEMBUNYI

Bila seseorang itu ada dendam yang tersembunyi, apa kita nak kata ye!!!

Lihat pada riak wajahnya baik sangat…ada imannya, lembut bicaranya dan ada senyumnya. Tapi segala tindakannya yang tersembunyi berjaya memecah belahkan orang, menghasut orang dan mengadu domba orang. Yang paling dahsyat berjaya memfitnah orang sehinggakan orang yang jujur dan ikhlas itu dipandang serong oleh mereka yang berjaya dipengaruhinya.

Tapi…saya sentiasa sedar, doa orang-orang yang difitnah dan dianiaya sentiasa diterima ALLAH. Kalau kita pada pihak yang benar, sentiasa hiasi diri dengan sifat sabar dan bersyukur. InsyaAllah akan berlipat kali gandalah keberkatan dan kerahmatan yang datang.

SABAR TIADA BATASANNYA

Terasa seperti tercabar juga kesabaran ni…Tiga empat hari ni, tak sudah-sudah memikirkan sikap rakus segelintir manusia yang punya hati budi kotor yang cuba untuk mencantas tindakan rakan sendiri. Dalam hati ni tak sudah-sudah berkata, kenapalah manusia begini…apalah nak direbutkan dalam dunia ni…Janganlah dipandang ruang tu sempit sangat…banyak peluang ALLAH akan beri…tapi janganlah bertindak menganiaya kawan-kawan. Mencari sokongan dengan merendah-rendahkan usaha dan tindakan kawan sendiri.

Jangan dizalimi keikhlasan dan niat baik orang. Silap hari, diri sendiri yang terjerat dan ALLAH itu maha kaya dan berkuasa…Dia beri kepuasan pada hati masing-masing untuk bertindak walau dengan apa carapun, tapi sampai masa, bila dia nak rentap semua…dia akan rentap…menangis air mata darah pun nanti dah tak guna...Mentertawakan orang yang ikhlas itu nanti akan bertukar menjadi laungan menyesal tak sudah. Sudahnya…orang-orang yang dianiaya ni lah nanti akan mendapat kejayaan dan kerahmatan serta keberkatan dari segala usaha yang dilakukan tanpa menganiaya sesiapa dan tanpa menyakiti hati sesiapa.

Walau apa pun saingan dan cabaran, pandang dari sudut positif, jangan pandang dari sudut negatif, kelak nanti langkah dan tindakan seiring dengan hasutan dan nafsu iblis. Makanya, akan terbawalah keseronokan itu ke kancah kehancuran dan pada masa itu, maruah dan harga diri akan tergadai.

Hiasi diri dengan budi pekerti yang mulia, berbaik-baik sesama insan kerana itu adalah yang terbaik untuk kita mencipta kejayaan yang berkekalan.
Memang dalam dunia ni…sejuta kebaikan yang kita buat, masih kabur pada mata orang-orang yang sentiasa mengejar kepentingan diri sendiri. Pada mereka, segala tindakan orang itu, adalah untuk bersaing bagi mencari publisiti ataupun puji-pujian.

Aduhai…dalam menanti masa terbakar tangan orang-orang yang menaniaya orang ni, agak tercabar juga kesabaran ye…Tapi…ingatlah selalu….ALLAH sentiasa menyebelahi orang-orang yang benar dan sabar. Amin Ya Rabbil Alamin…

Selasa, 8 Julai 2008

APABILA KETELUSAN DICABAR

Ada waktunya ketelusan, kejujuran, amanah dan sifat tanggungjawab yang ditunjukkan oleh seseorang itu sukar untuk diterima oleh mereka yang saya pun tak tahulah nak kategorikan sebagai apa????

Saya yang mendengar dan melihatnya pun rasa tercabar juga apabila ada sikap segelintir mereka yang cuba menidakkan sesuatu kebenaran, sehinggakan pihak yang dipertanggungjawabkan tercalar hatinya bila penjelasannya cuba ditempelak.

Begitulah yang dialami oleh salah seorang teman saya yang dipertanggungjawabkan untuk menyemak tuntutan perjalanan dan kerja lebih masa oleh mereka yang berkelayakan.

Apatah lagi di masa pelaksanaan bajet berhemah ni, berbagai peraturan dikeluarkan untuk difahamkan oleh mereka yang membuat tuntutan, begitu juga kepada mereka yang dipertanggungjawabkan untuk meluluskan setiap permohonan.

Saya menggeleng kepala bila berlaku sikap segelintir mereka yang sengaja tidak mahu memahami peraturan sebenar setiap tuntutan, malah menganggap ia membebankan dan menindas mereka.

Baginya, tak perlu itu semua kerana bayar sahaja apa yang dituntut, waima melangkaui batasan waktu yang sebenarnya tidak sepatutnya dituntut oleh mereka. Dalam ertikata sebenarnya, tuntutan yang dibuat tidak munasabah langsung dan boleh dipertikaikan.

Memanglah, bila dihitung dan dijumlahkan keseluruhannya tuntutan yang dibuat, boleh juling mata…berganda-ganda dengan pendapatan hakiki. Tapi, masalahnya, bukan cemburu atau dengki hati apabila dipertikaikan kejujuran dalam membuat tuntutan, apatah lagi nak persen atau komisyen daripada mereka.

Perkara penting dipertikaikan adalah keselamatan pihak meluluskan. Mereka nanti yang akan dipersoalkan bukannya kakitangan bawahan yang menuntut.

Apa yang menjadi masalahnya sekarang ini ialah, pegawai berkenaan pening kepala sepanjang hari, darah tingginya naik mendadak, malah kesabarannya benar-benar teruji. Setiap penjelasannya kepada pihak yang menuntut, dilawan semula, mereka melenting tidak tentu pasal dan bercakap menyakitkan hati.

Oleh kerana sikap mahu lebih dari yang lebih inilah yang membuatkan mereka jadi buta hati dan perasaan dan tidak sedar perbuatan itu boleh menjerumus pegawai yang dipertanggugjawabkan ke kancah persoalan yang sudah terang lagi bersuluh.

Sudahnya, pegawai itulah yang akan terjerat kerana yang termaktub di surat kelulusan adalah tandatangan mereka. Pelbagai persoalan boleh timbul…kenapa luluskan? Tak semak ke dulu? Tak jelaskan ke peraturan sebenar? Apa gunanya awak ditugaskan kalau peringkat saringan pun dah tak tahu buat keje? dan macam-macam lagi persoalan boleh diajukan.

Apa yang saya lihat dan dengar mengenai masalah ini, pegawai berkenaan sudahpun membuat yang terbaik tugasannya, tapi pihak yang menuntut tidak boleh menerima hakikat sebenarnya, mahu juga tuntutannya diluluskan.

Oleh itu apa tindakan seterusnya? Mahu diturutkan terjerat diri, kalau tidak diturutkan jadi musuh berpanjangan dan dibenci orang.

Segala apapun, kita berpeganglah kepada halal dan haram setiap sumber pendapatan yang kita perolehi itu. Kerana semuanya akan menjadi darah daging kita juga, apatah lagi sehingga kepada anak cucu dan keturunan.

Sebenarnya agak sukar juga untuk saya ceritakan pengalaman yang dialami oleh teman saya ini sehinggakan dirinya sendiri merasa benar-benar tercabar. Sepanjang hari dia tension bila kakitangan peringkat bawahan mencabar ketelusannya di dalam melaksanakan tugasan yang dipertanggungjawabkan.

Untuk nak mencari penyelesaian terbaik, pada pandangan saya ada eloknya segala masalah yang dihadapi ini dibawa ke pihak atasan, biar mereka jelaskan. Setidak-tidaknya bila mereka nak benci taklah benci kepada teman seorang.

Khamis, 26 Jun 2008

Menunggu esok yang pasti


Hari ini kakitangan di Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan sibuk membuat persiapan untuk penganjuran majlis penyampaian sumbangan pelajaran kepada para pelajar anak negeri ini yang diadakan pagi esok.
Sudah tiga hari kakitangan di pejabat ini khasnya di Unit Kewangan berada di pejabat sehingga lewat jam 9.00 malam bagi memastikan segala pe
rsediaan berjalan lancar. Di kalangan petugas ada yang kenduri tahlil terpaksa diwakilkan kepada anak-anak, ada pula yang tergesa-gesa untuk pulang kerana jiran sebelah meninggal dunia, manakala ada yang mempunyai anak kecil pula, memujuk anak masing-masing menyatakan `ibu’ atau `emak’ balik lewat, banyak kerja yang perlu disiapkan.
Dari semalam lagi mereka bertungkus lumus menguruskannya termasuk dari penyediaan cek dan jemputan. Apatah lagi yang agak menggusarkan ialah kehadiran pelajar-pelajar tersebut bersama keluarga masing-masing, kerana rata-rata ada di kalangan mereka yang dipanggil ada yang mengganggap kalau tidak hadir pada majlis tersebut, sumbangan boleh diperolehi juga samada melalui pos atau datang sendiri ke Pejabat Menteri Besar.
Bersoal jawap di fikiran setiap kakitangan segala kemungkinan-kemungkinan yang dihadapi jika kehadiran pada hari esok menimbulkan permasalahan di luar jangka.
Bagaimanapun, atas sikap kerja berkumpulan yang ditunjukkan oleh sekalian kakitangan yang dipertanggungjawabkan, segalanya sudah bersedia untuk berhadapan dengan segala kemungkinan itu.
Hakikatnya, beginilah kesungguhan yang dilakukan oleh pihak kerajaan di dalam memberi perhatian kepada golongan yang memerlukan. Tidak sama sekali mereka sengaja melewat-lewatkan setiap permohonan dan jauh sekali untuk tidak bersikap bertimbang rasa di atas
permasalahan golongan yang memerlukan.

Begitu juga bagi pihak yang memimpin, Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan begitu bersungguh untuk bertemu dan menyerahkan sendiri kepada pelajar-pelajar berkenaan sumbangan yang diberikan.
Yang turut dititikberatkannya juga ialah kehadiran ibubapa mereka, kerana Menteri Besar ingin sekali bertemu dan berbual dengan mereka dari hati ke hati di samping memberikan semangat dan dorongan kepada pelajar-pelajar untuk tidak mensia-siakan harapan yang diletakkan.

Selasa, 24 Jun 2008

Jadi yang terbaik di kalangan yang terbaik

Saya cukup kagum dan terharu dengan sikap profesional dan kematangan yang ditunjukkan oleh Presiden Kelab Akhbar Negeri Sembilan (KELANA) Encik Razali Pilus semasa majlis Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan bersama media baru-baru ini.
Walaupun beliau selaku Presiden KELANA diberikan penghormatan oleh AADK sebagai salah seorang tetamu VIP, namun beliau tidak melupakan rakan seperjuangannya yang turut hadir sebagai mewakili kelab akhbar lain.



Dalam pemerhatian saya, kelihatannya, sedikitpun tidak tercetus perasaan yang tidak baik di hatinya terhadap rakan-rakannya. Keikhlasan jelas terpancar dari setiap sudut gerak laku dan kata bicaranya demi untuk menjaga ikatan persahabatan yang terbina dari keluhuran hati.
Malah setiap kali namanya disebut sebagai `orang penting’ dalam pertemuan itu, tidak pernah sekalipun tidak disebut rakannya yang menjadi ahli kelab lain.
Beliau tidak terlepas pandang untuk turut mengingatkan pihak penganjur bahawa ada sebuah lagi kelab akhbar yang turut bersama pada malam itu.
Sikap begini, memang patut dipuji kerana tindakannya itu membawa kepada keharmonian dan semangat perpaduan dalam berpersatuan. Inilah contoh presiden yang tidak sama sekali membiarkan setiap keputusan yang dibuat mengikut perasaan, tetapi mengikut kata hati yang berlandaskan pemikiran dari akal yang matang dan waras.
Jauh sekali dia bersikap untuk memecahbelahkan ahli-ahli sehingga boleh mengheret kepada sikap sentiasa tidak berpuas hati.
Kesimpulannya, keikhlasan itu adalah menjadi perkara utama di dalam membawa persatuan ke arah yang lebih dihormati dan disegani oleh masyarakat sekeliling.
Jika hati sentiasa dibaluti dengan sikap kotor seperti iri hati, dengki dan cuba untuk mengadu domba untuk saling jatuh menjatuhkan pihak yang dianggap persaing terdekat, sudah pasti sesebuah persatuan itu tidak akan berkekalan lama, tetapi sekadar teguhnya semasa laut tenang dan runtuhnya pula setelah laut berombak.

Sabtu, 21 Jun 2008

Terjerat di gelanggang bowling

Saya terjerat hari ini di gelanggang bowling. Saya sangkakan perjumpaan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan bersama media hari ini, sekadar majlis ramah mesra. Rupa-rupanya ada pertandingan bowling bersama mereka.
Terkaku sekejap sebaik sahaja melihat ramai teman-teman media telah bersedia untuk bermain. Terfikir juga, apa pasal saya tak tahu ada lawan bowling juga ni. Yang menjadi persoalannya, saya lama dah tak main bowling. Silap hari bulan, tergeliatlah urat saraf ni…kerana lama sangat dah dimanjakan tidak bersukan.
Sampai ajer, petugas AADK dah senaraikan nama saya di borang penyertaan. Nak lari dah tak boleh, terpaksa jugalah bertarung walaupun nampak pincang sedikit.
Sekali dua kali baling bola, dah rasa seronok lak, apatah lagi dapat strike pulak tu.
Terlajak masa hingga jam 12.30 malam
Hemm…dalam hati rasa-rasanya macam nak datang lagi kat Stadium Bowling Negeri Sembilan ni. Bila lama tak bersosial begini, sesekali terasa ada juga manfaatnya, dapat juga bergembira bersama kawan-kawan. Lepas ni, saya fikir kena luangkan sedikit masa untuk beriadah dan bersukan. Boleh juga hilangkan kebuntuan fikiran apabila terlalu banyak tugasan yang perlu dilaksanakan.
Bagaimanapun, tahniah kepada AADK kerana majlis pada malam ini cukup bermakna. Bukan sekadar berseronok bermain bowling, malah turut diadakan sesi sembang bersama media dan bertukar-tukar pandangan serta pendapat.
Tetamu khas yang hadir meraikan kami warga media ialah Exco Kerajaan Negeri, YB. Abdul Samad yang memegang portfolio Belia dan Sukan. Beliau turut menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang.
Cukup sporting YB melayan kerenah kami dan menjawab dengan jelas setiap pertanyaan-pertanyaan yang kami ajukan kepadanya semasa sesi sembang media.
Susulan daripada kemeriahan bermain bowling bersama warga media dan AADK, YB. Abdul Samad juga menyatakan kesediaannya untuk sama-sama menganjurkan Karnival Media di Negeri Sembilan.

Khamis, 19 Jun 2008

Atasi masalah rakyat secara bijaksana

Apabila perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan, datang mencari dan menghampiri rakyat, itulah yang sebenarnya cara terbaik untuk merungkai permasalahan yang dihadapi oleh setiap mereka. Sentuhan naluri kemanusiaan itu, membawa kasih yang berpanjangan dan akan terlekat di hati setiap mereka yang diberikan bantuan ataupun pertolongan. Timbang rasa dan saling memahami itulah yang diharapkan oleh rakyat terutama yang tergolong di kalangan yang tidak berkemampuan.
Petang tadi saya mengunjungi Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Rantau. Kelihatan wakil rakyatnya Dato’ Haji Mohamad Hasan, yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, sibuk melayan orang ramai yang datang menemuinya. Begitu juga dengan pegawai-pegawai yang ditugaskan. Setiap seorang yang datang didaftarkan nama-nama mereka. Sabar menunggu giliran masing-masing untuk menyuarakan setiap apa juga permasalahan yang dihadapinya kepada wakil rakyat mereka.
Dalam keasyikan saya memandang gelagat orang ramai yang keluar masuk di pejabat itu, mata saya tertumpu ke arah tiga lelaki yang sibuk melayan orang ramai yang datang berkumpul berhampiran meja mereka.
Saya mendekati mereka dan memerhatikan agak lama juga setiap apa yang mereka buat sebelum mengajukan beberapa soalan.
Saya amat tertarik dengan cara perkhidmatan yang diperkenalkan di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Rantau itu. Kemas dan teratur, malah selesa bagi orang ramai terutama orang-orang kampung untuk datang menemui wakil rakyat mereka.
Walaupun pejabat itu kecil dan orang ramai yang datang mencapai ke 100 orang, namun tidak nampak kesesakannya.
Setiap bahagian pejabat itu disediakan meja khas yang menempatkan pegawai-pegawai yang dipertanggungjawabkan untuk mengambil perhatian setiap permasalahan yang telah dikategorikan oleh kerani yang ditugaskan.
Tiga pegawai berkenaan ialah seorang Penghulu dan dua orang lagi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Orang ramai yang datang berkenaan dengan bantuan, akan segera diambil keterangan diri masing-masing dan diisi pada borang khas yang disediakan.
Dengan cara ini, adalah lebih mudah, cekap dan berkesan. Inilah perkhidmatan yang selesa bagi rakyat, terutama bagi golongan yang kurang berupaya, warga tua dan mereka tidak berkemampuan.
Apabila perkhidmatan yang diperlukan berada hampir dengan mereka, ini adalah yang terbaik kerana untuk pergi ke pejabat yang terletak jauh dari kediaman, amatlah membebankan mereka. Apatah lagi di masa sekarang dengan harga minyak sudah melambung tinggi. Kalau dihitung-hitung perbelanjaan teksi, bas, kereta sewa ataupun pengangkutan sendiri, pasti banyak belanjanya. Itupun baru peringkat memohon, belum lagi mendapat keputusan samada diluluskan ataupun tidak.
Oleh itu, cara begini patut dicontohi oleh pejabat-pejabat ADUN di kawasan lain sebagai memberi perkhidmatan yang lebih berkesan. Begitu juga kepada jabatan-jabatan ataupun agensi-agensi kerajaan.
Rakyat akan lebih merasa diri mereka terbela dan sentiasa diberi perhatian.

Selasa, 17 Jun 2008

Kisah dua orang ibu muda

Ibu muda pertama ini mempunyai seramai empat orang anak yang masih kecil. Suaminya bermain cinta dengan seorang balu yang jauh usia dari suaminya. Jarak rumah pula cuma melangkau dua rumah jiran mereka. Lebih menyakitkan dan menyedihkan hatinya lagi apabila suaminya telah berkahwin dengan wanita yang sangat dikenalinya sebelum ini. Dia tidak dapat membendung perasaan pilu di hatinya dan amat payah untuk mengawal perasaan kerana sikap suaminya seperti tunduk dengan kerenah `isteri mudanya’ itu.
Hari demi hari, hatinya semakin dibaluti rasa tidak puas hati, malah menyimpan perasaan benci yang begitu menebal di hatinya terhadap wanita itu yang sebelum ini dianggap seperti saudara sendiri yang banyak menabur budi kepada keluarganya.
Ibu muda ini cuba untuk menebis setiap perasaan sakit hatinya dan membuang jauh perasaan gundah gelananya dengan membawa diri mencari pekerjaan sebagai tiada lagi ruang untuk dia melayan perasaan.
Setiap hari dia menyibukkan diri bekerja dan belajar hidup berdikari di samping menjaga anak-anak yang masih kecil.
Namun, dia kalah dalam melawan perasaannya, malah semakin hari dia amat terluka dan tidak mampu bertahan untuk bersikap sabar.
Memanglah berat mata memandang, berat lagi bahunya yang memikul. Tapi apakan daya, semuanya sudah terlambat. Jika tindakannya sekarang ini dilakukan semasa dia menyedari suaminya bermain cinta dengan wanita itu, mungkin boleh diselamatkan lagi keadaan. Namun, kini terpaksalah dia terus memendam rasa. Suaminyapun sudah berkahwin dengan wanita itu.
Kisah ibu muda kedua pula, dia mengambil tindakan meminta cerai dengan suaminya apabila mengetahui suaminya bermain cinta dengan isteri orang yang jauh usia dari suaminya.
Suaminya memang tidak mahu menceraikannya, tetapi dengan campur tangan keluarga, maka terlerailah ikatan perkahwinan mereka.
Dari kisahnya, tahun pertama bercerai amat memedihkan, terasa sepi dan gelap dunia ini.
Kasihnya masih lagi pada bekas suaminya, yang begitu disayangi dan dipercayainya. Apatah lagi mempunyai anak-anak yang masih kecil.
Namun, berkat ketabahannya, dia kuatkan semangat dan azam untuk melupakan kisah sedihnya itu. Dibayangi selalu pada hatinya sikap suaminya yang amat melukakan hatinya. Bermula dari situlah, hari demi hari dia mampu melupakan kisah sedihnya itu dan dia kembali ceria bersama anak-anak.
Dia tidak mengharapkan lagi kasih daripada suaminya yang telah melukakan hatinya, malah dibuangnya jauh-jauh segala kenangan lalu.
Kini dia sudahpun mempunyai pekerjaan dan tempat tinggal sendiri. Tidak lagi mengharapkan belas kasih dari suaminya itu. Bagaimanapun, katanya, tanggungjawab sebagai ayah kepada anak-anak perlu dilaksanakan. Setiap bulan, bekas suaminya perlu memberi nafkah untuk anak-anak. Jika terabai, dia tidak akan berlengah untuk ke pejabat agama.
Setelah lebih tiga tahun melalui hidup sebagai ibu tunggal, dia tidak sedetikpun mengharapkan bekas suaminya pulang kepadanya semula. Malah, dia lebih gembira hidup bersama anak-anaknya. Bekas suaminya masih juga tidak berkahwin dengan buah hatinya itu, tetapi masih merayu kepada bekas isteri yang sudah dikecewakannya dahulu.
Nak dipanjangkan cerita, kedua-dua ibu muda ini berkenalan secara kebetulan. Maka terjalinkan persahabatan di antara mereka. Si ibu tunggal yang sudah bercerai ini berkongsi pengalaman bersama si ibu muda yang masih memendam rasa dengan sikap suaminya.
Namun, sekadar memberi pandangan dan nasihat serta bercerita pengalaman lalunya kepada si ibu muda supaya boleh dijadikan pedoman.
Bagaimanapun, keputusan di tangan yang empunya diri, jika dia sanggup terus hidup berkongsi kasih dalam keadaan hati yang parah, terserahlah.
Buatlah keputusan yang bijak dan jangan mengikut perasaan. Jika masih sayangkan rumahtangga yang dibina, teruskanlah hidup sebagai suami isteri, tetapi jika tidak sanggup lagi menanggungnya, dapatkan nasihat dan pandangan orang-orang yang tidak berkepentingan.
Walauapapun, sesungguhnya pada setiap kejadian yang berlaku ada hikmahnya dan jangan disalahkan takdir. Redha dengan ketentuan Allah kerana itu adalah yang terbaik bagi kita manusia yang hidup di muka bumi Allah ini.

Ahad, 15 Jun 2008

Bertemu, berkenal dan berpisah...

Bertemu, berkenal dan berpisah. Itulah lumrah alam. Namun, bagi yang mengerti ia akan terus pasrah dan membawa setiap detik kenangan itu di dalam dairi hidupnya. Mudah-mudahan akan berkekalanlah persahabatan dan tersimpul erat tali silaturrahim yang terjalin sepanjang sembilan minggu saya menyertai Kursus Kewartawanan Penyiaran di Institut Penyiaran Tun Abdul Razak (IPTAR).
Buat mu teman-teman, saya coretkan bingkisan ini sebagai menyampaikan suara hati yang sebenarnya begitu sayu apabila terpaksa berpisah setelah begitu lama masanya kita berada bersama dalam situasi yang penuh mesra.
Tidak pernah saya mengalami kesayuan begini, kerana setiap kalian yang menyertai kursus ini begitu dekat di hati saya dan saya anggap seperti saudara sendiri yang mahu bersama dalam setiap apa juga keadaan.
Senyum dan gelak tawa serta gurau senda semua yang menghiasi bilik kuliah, masih teriang-iang di telinga, malah di hati ini, ingin memanggil nama kalian agar dapat berkumpul seperti biasa dan berbicara tentang ilmu yang boleh dimanfaatkan bersama.
Masa yang berlalu begitu pantas, lebih pantas lagi apabila setiap kalian sudah saya kenali hati budi masing-masing.
Nama dan wajah kalian semua, silih berganti hadir di bayangan mata, terutama apabila kita berbicara tentang topik-topik penting yang dibawa oleh penceramah. Gerak geri, gelagat dan kerenah semua, menambahkan rindu saya pada kalian terutama apabila diberikan tugas-tugas yang begitu mendesak.
Kepada teman-teman yang sebumbung di asrama, kalian bagaikan keluarga terdekat yang mampu mengukir ruang kegembiraan di hati. Kita bagaikan sekumpulan unggas yang ke sana kemari dalam suasana yang harmoni dan tiada rasa sangsi di hati.
Taufik, Jumaahtun, Mahadir, Ghafar, Azura, Marian, Effa, Kristo, Affandi, Azizah, Amir, Saadiah, Arqam, Ati, Afni dan Wajihah, kalian telah melakar kisah di peta hati ini untuk saya kenang selama-lamanya.
InsyaAllah, jika ada kesempatan dan ruang masa yang mengizinkan, kita bertemu dan mengembalikan nostalgia lalu yang begitu indah.

Harap-harap bayu yang datang
Biarlah lembut, sejuk dan nyaman
Harap bertemu di lain gelanggang
Mengubat rindu pada mu teman

Selasa, 10 Jun 2008

KELANA terserlah kehebatannya

Kelab Akhbar Negeri Sembilan (KELANA) kini, telah mejangkau 20 tahun usianya. Telah matang dan mampu bertindak mengikut fikiran, lantas mengenepikan terus perasaan yang berbaur hasut menghasut ataupun mementingkan diri sendiri.
Sepanjang tempoh 20 tahun KELANA, tidak dinafikan kelab ini melalui begitu banyak laluan sukar terutama dalam menjaga nama baik kelab agar tidak disalahgunakan dan diambil kesempatan oleh ahli-ahli yang tidak bertanggungjawab.
Dengan kepimpinan Presidennya, Encik Razali Pilus, KELANA kini begitu disegani sebagai salah sebuah kelab yang tidak pernah menggadaikan maruah persatuan semata-mata untuk mencapai kehendak peribadi.
Setiap aktiviti yang dianjurkan, lebih menjurus ke arah membawa kebaikan kepada ahli-ahli dan masyarakat. Tidak sama sekali mengajar ahli-ahlinya, mencemarkan maruah KELANA dengan bersifat meminta-minta sehingga boleh dilabelkan sebagai kelab murahan.
Pastinya, Presiden KELANA sentiasa menasihatkan ahli-ahlinya, terutama barisan kepimpinan KELANA sendiri agar, jangan jadikan kelab ini sebagai medan untuk menangguk di air yang keroh.
Barisan kepimpinannya pula, begitu tegas dalam menjaga nama baik KELANA agar tidak berulang sejarah lalu yang boleh mencemarkan nama baik KELANA sehingga ada ketikanya hampir dibubarkan terus dari senarai kelab yang berdaftar di bawah pendaftaran pertubuhan.
Sejarah memang banyak mengajar KELANA sendiri terutama ketika memperjuangkan keikhlasan dalam berpersatuan. Amat sukar melalui detik ini, kerana kebanyakan ahli-ahlinya datang dan pergi kerana terpaksa berpindah tempat bertugas di luar Negeri Sembilan. Telah termaktub di dalam perlembagaannya sendiri, ahli-ahli KELANA adalah di kalangan warga media yang bertugas di dalam Negeri Sembilan sahaja.
Ibaratkan, bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan laut mana yang tidak bergelora, begitulah juga KELANA. Tidak dinafikan, rasa tidak puas hati dan dicabar dengan ketidak matangan segelintir yang dianggap parasit pernah mencalar luka dalam KELANA.
Bagaimanapun, berlandaskan kepada niat yang ikhlas, tiada agenda tertentu yang terselindung daripada peringkat kepimpinan ataupun ahlinya, KELANA tetap berdiri teguh dan sentiasa dihargai setiap penglibatannya di dalam apa juga aktiviti yang dianjurkan dan disertai.
Tahniah kepada Presidennya yang mampu membawa KELANA ke tahap yang disegani dan dihormati oleh keseluruhan persatuan-persatuan lain, jabatan-jabatan dan agensi kerajaan serta pihak swasta. Begitu juga dikalangan individu-individu yang banyak memberi sokongan kepada KELANA.
INSYAALLAH dengan berkat keikhlasan dan kejujuran di dalam berpersatuan, KELANA akan sentiasa dilimpahi kerahmatan dan keberkatan. Menjadi contoh terbaik dalam senarai persatuan yang membimbing ahli-ahlinya ke jalan yang diberkati dan diredai ALLAH.

Ahad, 8 Jun 2008

Permainan bola lumpur



Bermain bola di bendang, itulah antara acara menarik yang saya lihat sepanjang mengikuti Program Homestay Gemas yang dianjurkan oleh Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Sembilan (MTPN).
Kelihatannya amat menyeronokkan, apatah lagi disertai oleh pelajar-pelajar dari negara China, Nigeria, Myanmar, Indonesia dan Afrika. Bermandi lumpur mereka semua semata-mata untuk mendapatkan kemenangan di dalam perlawanan yang dianjurkan.
Acara ini memang sengaja diadakan di bendang dalam usaha pihak penganjur untuk mempelbagaikan aktiviti di bendang. Kebetulan pula bendang baru sahaja dibajak. Bersesuaian sekali diadakan acara seumpama ini. Meriah!!!
Setelah satu jam mereka bergelumang dengan lumpur, kesemua peserta berlari pula menuju ke sungai untuk membersihkan badan yang kotor.
Apa lagi, tak ingat dunia la mereka. Yang terjun tebing, yang berenang, yang menyelam dan pelbagai aksi dipamerkan.
Begitu asyik menikmati nyaman air sungai sehingga terjerit keluarga angkat masing-masing suruh pulang ke rumah kerana hari sudah beransur senja.

Anaconda di Negeri Sembilan

Anaconda, red-tailed boa yang dibawa dari Brazil serta Burmese python dari Burma menjadi daya penarik kepada pengunjung yang datang melawat ke Taman Ular Sawa di Ulu Bendul, Kuala Pilah.
Lebih menarik lagi apabila anaconda berkenaan telah melahirkan 13 ekor anak sebaik sahaja dibawa masuk dan ditempatkan di dalam sangkar di taman berkenaan.
Kelahiran anak ular ini menjadi satu ikon baru untuk menarik lebih ramai lagi pengunjung datang melawat selain daripada usaha lebih proaktif dilakukan untuk menjadikan taman ini lebih dikenali ramai.
Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan yang dipertanggungjawabkan mengurus taman ular berkenaan mengasingkan buat sementara waktu anak-anak ular anaconda itu sebagai langkah untuk menyesuaikan diri dengan keadaan alam persekitaran yang berbeza.
Anak ular ini berukuran 30 sentimeter dan berat antara 200 hingga 300 gram setiap ekor.
Taman Ular Sawa yang menjadi tarikan baru di Hutan Rekreasi Ulu Bendul ini, kini menempatkan 70 ekor daripada 30 spesies ular sawa seluruh dunia.
Terdapat juga anaconda dari spesies blood python, Borneo short tailed python, Amazon tree boa, albino Burmese python, Indian python dan Bolivian python.
Dengan perkembangan terbaru ini, Hutan Rekreasi Ulu Bendul akan berupaya menarik ribuan pelancong untuk datang, bukan sahaja mengkaji kehidupan dan tumbuhan liar, tetapi juga mendekati dan mengenali kehidupan ular sawa yang ditempatkan dalam sangkar-sangkar yang dibina dengan baik dan unik ini.
Kerajaan Negeri Sembilan juga akan berunding dengan mana-mana agensi yang berminat untuk menjadikan Taman Ular Sawa ini sebagai pusat penyelidikan, sekali gus menjaga pembiakan, kesihatan dan pusat sumber untuk reptilia ini.


Rabu, 4 Jun 2008

PERANGKAP CYBER

Baru-baru ini, saya bertemu seorang lelaki kenalan lama di salah sebuah restoran di bandar Seremban. Nak katakan saudara bolehlah juga, sebab dia kahwin dengan orang kampung yang sesuku dengan saya. Duduk semeja bersamanya adalah orang yang saya kenali juga. Keduanya menegur saya sebaik sahaja saya memasuki restoran berkenaan. Saya menghampiri meja mereka sekadar bertanyakan khabar. Akhir perbualan dia meminta nombor talipon saya.

Selang seminggu saya menerima masej darinya yang cuba untuk memerangkap diri saya ke arena bicara on line lucah. Tapi mukadimahnya menggunakan strategi bersopan santun, ingin memaklumkan sesuatu yang seolah-olah rahsia besar berupa gambar yang membabitkan orang politik. Tapi syaratnya jangan beritahu sesiapa, termasuk suami saya sendiri.

Untuk mengetahui apa sebenarnya saya menerima syaratnya, dan dia dengan pantas menghantar gambar-gambar berkenaan melalui MMS. Oleh kerana handphone saya tidak di aktifkan MMS, saya tidak dapat melihatnya, tetapi saya cuba menggunakan line internet. Dia meminta saya on line dalam internet melalui Yahoo! Messenger supaya senang untuk bersoal jawab mengenai gambar-gambar yang saya lihat.

Apabila saya melihat gambar-gambar yang dikirimkan, mengucap panjang saya. Yang anehnya muka orang berkenaan ditutup dan saya menyatakan padanya, sesiapapun boleh membuat tuduhan, tetapi untuk mempercayainya mungkin tidak kerana sudah jelas wajah sebenar tidak kelihatan pada gambar itu.

Bagaimanapun dia terus menghantar YM yang berbaur lucah, tetapi diselamatkan dengan fakta-fakta saintifik. Melalui YM itu, dia menjelaskan secara terperinci setiap keping gambar-gambar berkenaan. Saya terasa malu sendiri apabila melihat gambar itu. Saya cuba mengajukan persoalan untuk lari dari penjelasannya yang seperti ingin memerangkap saya ke dunia bicara dan perbuatan lucah. Tapi dia langsung tidak mengendahkan persoalan saya itu.

Saya mula memikirkan sesuatu. Apa sebenarnya agenda dia bersikap sebegitu kepada saya. Dalam fikiran saya, menyangkakan dia ada `something wrong’. Ada yang tak kena pada diri dia, saya pun mula mencari alasan untuk beredar dari YM. Begitu meluat saya dengan perbuatannya itu. Saya dapat agak apa sebenarnya dia akan lakukan jika saya terus melayan YMnya itu.

Berlalu daripada situ, saya langsung tidak mahu lagi menjawab call dan smsnya. Mungkin dia sangkakan saya begitu observe dengan sikapnya itu, lantas akan terjerumus ke kancah lucahnya itu.

InsyaAllah, saya masih punya harga diri dan hidup punya pedoman.

Selasa, 3 Jun 2008

Dato' Siti Rahmah pejuang bangsa


Entah mengapa hari itu, perjalanan hidupnya terasa begitu sepi. Terasa jauh dari anak cucu dan sahabat handai. Ingatannya kembali kepada arwah suami yang sudah lama meninggalkannya. Airmatanya tiba-tiba mengalir setiap kali berbicara sendiri. Kesedihannya sudah melangkaui ketabahannya.

Kehadiran saya di rumahnya yang terletak di Rumah Rakyat Chembong, menjawab persoalan di hati. Secara tiba-tiba saya teringatkannya sebaik sahaja melalui jalan Rembau - Seremban. Ingin singgah seketika menemuinya bertanyakan khabar dan bersalaman sebagai tanda kasih berpanjangan.

Rupa-rupanya, wanita yang bernama Dato’ Siti Rahmah itu masih dibelenggu kesedihan akibat kecederaan di kakinya kerana tercurah air panas yang sedang mendidih. Agak lama juga dia terpaksa duduk di rumah kerana tidak mampu untuk berjalan seperti biasa. Sepanjang bersendirian di rumahlah, berbagai-bagai perasaan bermain di fikirannya. Mudah benar tersinggung, sunyi mencengkam jiwa dan terasa seperti jauh dipinggirkan.

Bagaimanapun, rajuk di hati wanita yang telah menjangkau usia 82 tahun itu, terubat juga apabila selang setengah jam kehadiran saya, salah seorang anaknya datang menjengok.

Dato’ Siti Rahmah Kassim, dialah salah seorang wanita yang begitu kental semangat juangnya dan cekal dalam mengharungi setiap detik perjalanan hidup ke arah satu tujuan iaitu `kemerdekaan’.

Pengorbanan sejati
adalah dari keikhlasan dan keyakinan diri.
kepuasan diri
adalah melihat bangsa dan negara
hidup bersatu ditanah tumpah darah sendiri

Ikuti kisah seterusnya wanita unggul ini pada bicara akan datang saya yang bertajuk Gelang Merdeka.

Anak bangsa sedarlah dari leka

Akan bertambah bertuah bumi ini, jika peluh yang membasihinya adalah keringat daripada anak bangsa yang pandai menghargai keamanan dan keharmonian. Malah akan bertambah bertuah lagi bumi ini, jika kaki-kaki yang memijaknya adalah anak bangsa yang kental semangatnya dan kuat jati dirinya.

Sesungguhnya, terlalu besar anugerah yang Allah limpahkan untuk dinikmati oleh anak bangsa yang menghuni di muka bumi Malaysia ini. Jika pandai dimanfaatkan setiap pancaindera yang dianugerahkan, sudah pasti anak bangsa mampu berbakti dan berbudi di bumi sendiri. Mampu meneruskan perjuangan generasi lalu, yang sanggup bersabung nyawa demi memberi kesenangan kepada anak cucu mereka.

Namun, agak terkilan rasanya, apabila setiap penjuru pandangan mata, tertumpu kepada golongan pendatang asing. Mereka pantas dan rakus merebut peluang untuk mengisi ruang yang tidak mahu diterokai oleh anak bangsa di bumi ini. Mereka jadikan bumi Malaysia ini sebagai kancah menghimpunkan permata. Dari jauh sudah dilihatnya ada kekayaan yang boleh diterokai, biarpun permulaannya sanggup bersusah dan merempat demi mencari sesuap nasi.

Sudahnya, tsemakin ramailah yang membanjiri negara ini dan tidak mustahil suatu ketika nanti semakin cerdik pula mereka untuk menyiapkan diri menjadi tuan di bumi orang. Takut pula nanti, dalam diam sudah terencana hemah berhelah yang mampu menggugat ketenteraman negara.

Akhirnya, tergadailah maruah bangsa dan negara.