ANGELA by Jose Feliciano

" />
Hendak ku pikat burung di hutan
tapi disambar helang sejoli
hendak ku jerat hati mu teman
jadi perindu blog ku ini

Khamis, 26 Jun 2008

Menunggu esok yang pasti


Hari ini kakitangan di Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan sibuk membuat persiapan untuk penganjuran majlis penyampaian sumbangan pelajaran kepada para pelajar anak negeri ini yang diadakan pagi esok.
Sudah tiga hari kakitangan di pejabat ini khasnya di Unit Kewangan berada di pejabat sehingga lewat jam 9.00 malam bagi memastikan segala pe
rsediaan berjalan lancar. Di kalangan petugas ada yang kenduri tahlil terpaksa diwakilkan kepada anak-anak, ada pula yang tergesa-gesa untuk pulang kerana jiran sebelah meninggal dunia, manakala ada yang mempunyai anak kecil pula, memujuk anak masing-masing menyatakan `ibu’ atau `emak’ balik lewat, banyak kerja yang perlu disiapkan.
Dari semalam lagi mereka bertungkus lumus menguruskannya termasuk dari penyediaan cek dan jemputan. Apatah lagi yang agak menggusarkan ialah kehadiran pelajar-pelajar tersebut bersama keluarga masing-masing, kerana rata-rata ada di kalangan mereka yang dipanggil ada yang mengganggap kalau tidak hadir pada majlis tersebut, sumbangan boleh diperolehi juga samada melalui pos atau datang sendiri ke Pejabat Menteri Besar.
Bersoal jawap di fikiran setiap kakitangan segala kemungkinan-kemungkinan yang dihadapi jika kehadiran pada hari esok menimbulkan permasalahan di luar jangka.
Bagaimanapun, atas sikap kerja berkumpulan yang ditunjukkan oleh sekalian kakitangan yang dipertanggungjawabkan, segalanya sudah bersedia untuk berhadapan dengan segala kemungkinan itu.
Hakikatnya, beginilah kesungguhan yang dilakukan oleh pihak kerajaan di dalam memberi perhatian kepada golongan yang memerlukan. Tidak sama sekali mereka sengaja melewat-lewatkan setiap permohonan dan jauh sekali untuk tidak bersikap bertimbang rasa di atas
permasalahan golongan yang memerlukan.

Begitu juga bagi pihak yang memimpin, Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan begitu bersungguh untuk bertemu dan menyerahkan sendiri kepada pelajar-pelajar berkenaan sumbangan yang diberikan.
Yang turut dititikberatkannya juga ialah kehadiran ibubapa mereka, kerana Menteri Besar ingin sekali bertemu dan berbual dengan mereka dari hati ke hati di samping memberikan semangat dan dorongan kepada pelajar-pelajar untuk tidak mensia-siakan harapan yang diletakkan.

Selasa, 24 Jun 2008

Jadi yang terbaik di kalangan yang terbaik

Saya cukup kagum dan terharu dengan sikap profesional dan kematangan yang ditunjukkan oleh Presiden Kelab Akhbar Negeri Sembilan (KELANA) Encik Razali Pilus semasa majlis Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan bersama media baru-baru ini.
Walaupun beliau selaku Presiden KELANA diberikan penghormatan oleh AADK sebagai salah seorang tetamu VIP, namun beliau tidak melupakan rakan seperjuangannya yang turut hadir sebagai mewakili kelab akhbar lain.



Dalam pemerhatian saya, kelihatannya, sedikitpun tidak tercetus perasaan yang tidak baik di hatinya terhadap rakan-rakannya. Keikhlasan jelas terpancar dari setiap sudut gerak laku dan kata bicaranya demi untuk menjaga ikatan persahabatan yang terbina dari keluhuran hati.
Malah setiap kali namanya disebut sebagai `orang penting’ dalam pertemuan itu, tidak pernah sekalipun tidak disebut rakannya yang menjadi ahli kelab lain.
Beliau tidak terlepas pandang untuk turut mengingatkan pihak penganjur bahawa ada sebuah lagi kelab akhbar yang turut bersama pada malam itu.
Sikap begini, memang patut dipuji kerana tindakannya itu membawa kepada keharmonian dan semangat perpaduan dalam berpersatuan. Inilah contoh presiden yang tidak sama sekali membiarkan setiap keputusan yang dibuat mengikut perasaan, tetapi mengikut kata hati yang berlandaskan pemikiran dari akal yang matang dan waras.
Jauh sekali dia bersikap untuk memecahbelahkan ahli-ahli sehingga boleh mengheret kepada sikap sentiasa tidak berpuas hati.
Kesimpulannya, keikhlasan itu adalah menjadi perkara utama di dalam membawa persatuan ke arah yang lebih dihormati dan disegani oleh masyarakat sekeliling.
Jika hati sentiasa dibaluti dengan sikap kotor seperti iri hati, dengki dan cuba untuk mengadu domba untuk saling jatuh menjatuhkan pihak yang dianggap persaing terdekat, sudah pasti sesebuah persatuan itu tidak akan berkekalan lama, tetapi sekadar teguhnya semasa laut tenang dan runtuhnya pula setelah laut berombak.

Sabtu, 21 Jun 2008

Terjerat di gelanggang bowling

Saya terjerat hari ini di gelanggang bowling. Saya sangkakan perjumpaan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan bersama media hari ini, sekadar majlis ramah mesra. Rupa-rupanya ada pertandingan bowling bersama mereka.
Terkaku sekejap sebaik sahaja melihat ramai teman-teman media telah bersedia untuk bermain. Terfikir juga, apa pasal saya tak tahu ada lawan bowling juga ni. Yang menjadi persoalannya, saya lama dah tak main bowling. Silap hari bulan, tergeliatlah urat saraf ni…kerana lama sangat dah dimanjakan tidak bersukan.
Sampai ajer, petugas AADK dah senaraikan nama saya di borang penyertaan. Nak lari dah tak boleh, terpaksa jugalah bertarung walaupun nampak pincang sedikit.
Sekali dua kali baling bola, dah rasa seronok lak, apatah lagi dapat strike pulak tu.
Terlajak masa hingga jam 12.30 malam
Hemm…dalam hati rasa-rasanya macam nak datang lagi kat Stadium Bowling Negeri Sembilan ni. Bila lama tak bersosial begini, sesekali terasa ada juga manfaatnya, dapat juga bergembira bersama kawan-kawan. Lepas ni, saya fikir kena luangkan sedikit masa untuk beriadah dan bersukan. Boleh juga hilangkan kebuntuan fikiran apabila terlalu banyak tugasan yang perlu dilaksanakan.
Bagaimanapun, tahniah kepada AADK kerana majlis pada malam ini cukup bermakna. Bukan sekadar berseronok bermain bowling, malah turut diadakan sesi sembang bersama media dan bertukar-tukar pandangan serta pendapat.
Tetamu khas yang hadir meraikan kami warga media ialah Exco Kerajaan Negeri, YB. Abdul Samad yang memegang portfolio Belia dan Sukan. Beliau turut menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang.
Cukup sporting YB melayan kerenah kami dan menjawab dengan jelas setiap pertanyaan-pertanyaan yang kami ajukan kepadanya semasa sesi sembang media.
Susulan daripada kemeriahan bermain bowling bersama warga media dan AADK, YB. Abdul Samad juga menyatakan kesediaannya untuk sama-sama menganjurkan Karnival Media di Negeri Sembilan.

Khamis, 19 Jun 2008

Atasi masalah rakyat secara bijaksana

Apabila perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan, datang mencari dan menghampiri rakyat, itulah yang sebenarnya cara terbaik untuk merungkai permasalahan yang dihadapi oleh setiap mereka. Sentuhan naluri kemanusiaan itu, membawa kasih yang berpanjangan dan akan terlekat di hati setiap mereka yang diberikan bantuan ataupun pertolongan. Timbang rasa dan saling memahami itulah yang diharapkan oleh rakyat terutama yang tergolong di kalangan yang tidak berkemampuan.
Petang tadi saya mengunjungi Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Rantau. Kelihatan wakil rakyatnya Dato’ Haji Mohamad Hasan, yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, sibuk melayan orang ramai yang datang menemuinya. Begitu juga dengan pegawai-pegawai yang ditugaskan. Setiap seorang yang datang didaftarkan nama-nama mereka. Sabar menunggu giliran masing-masing untuk menyuarakan setiap apa juga permasalahan yang dihadapinya kepada wakil rakyat mereka.
Dalam keasyikan saya memandang gelagat orang ramai yang keluar masuk di pejabat itu, mata saya tertumpu ke arah tiga lelaki yang sibuk melayan orang ramai yang datang berkumpul berhampiran meja mereka.
Saya mendekati mereka dan memerhatikan agak lama juga setiap apa yang mereka buat sebelum mengajukan beberapa soalan.
Saya amat tertarik dengan cara perkhidmatan yang diperkenalkan di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Rantau itu. Kemas dan teratur, malah selesa bagi orang ramai terutama orang-orang kampung untuk datang menemui wakil rakyat mereka.
Walaupun pejabat itu kecil dan orang ramai yang datang mencapai ke 100 orang, namun tidak nampak kesesakannya.
Setiap bahagian pejabat itu disediakan meja khas yang menempatkan pegawai-pegawai yang dipertanggungjawabkan untuk mengambil perhatian setiap permasalahan yang telah dikategorikan oleh kerani yang ditugaskan.
Tiga pegawai berkenaan ialah seorang Penghulu dan dua orang lagi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Orang ramai yang datang berkenaan dengan bantuan, akan segera diambil keterangan diri masing-masing dan diisi pada borang khas yang disediakan.
Dengan cara ini, adalah lebih mudah, cekap dan berkesan. Inilah perkhidmatan yang selesa bagi rakyat, terutama bagi golongan yang kurang berupaya, warga tua dan mereka tidak berkemampuan.
Apabila perkhidmatan yang diperlukan berada hampir dengan mereka, ini adalah yang terbaik kerana untuk pergi ke pejabat yang terletak jauh dari kediaman, amatlah membebankan mereka. Apatah lagi di masa sekarang dengan harga minyak sudah melambung tinggi. Kalau dihitung-hitung perbelanjaan teksi, bas, kereta sewa ataupun pengangkutan sendiri, pasti banyak belanjanya. Itupun baru peringkat memohon, belum lagi mendapat keputusan samada diluluskan ataupun tidak.
Oleh itu, cara begini patut dicontohi oleh pejabat-pejabat ADUN di kawasan lain sebagai memberi perkhidmatan yang lebih berkesan. Begitu juga kepada jabatan-jabatan ataupun agensi-agensi kerajaan.
Rakyat akan lebih merasa diri mereka terbela dan sentiasa diberi perhatian.

Selasa, 17 Jun 2008

Kisah dua orang ibu muda

Ibu muda pertama ini mempunyai seramai empat orang anak yang masih kecil. Suaminya bermain cinta dengan seorang balu yang jauh usia dari suaminya. Jarak rumah pula cuma melangkau dua rumah jiran mereka. Lebih menyakitkan dan menyedihkan hatinya lagi apabila suaminya telah berkahwin dengan wanita yang sangat dikenalinya sebelum ini. Dia tidak dapat membendung perasaan pilu di hatinya dan amat payah untuk mengawal perasaan kerana sikap suaminya seperti tunduk dengan kerenah `isteri mudanya’ itu.
Hari demi hari, hatinya semakin dibaluti rasa tidak puas hati, malah menyimpan perasaan benci yang begitu menebal di hatinya terhadap wanita itu yang sebelum ini dianggap seperti saudara sendiri yang banyak menabur budi kepada keluarganya.
Ibu muda ini cuba untuk menebis setiap perasaan sakit hatinya dan membuang jauh perasaan gundah gelananya dengan membawa diri mencari pekerjaan sebagai tiada lagi ruang untuk dia melayan perasaan.
Setiap hari dia menyibukkan diri bekerja dan belajar hidup berdikari di samping menjaga anak-anak yang masih kecil.
Namun, dia kalah dalam melawan perasaannya, malah semakin hari dia amat terluka dan tidak mampu bertahan untuk bersikap sabar.
Memanglah berat mata memandang, berat lagi bahunya yang memikul. Tapi apakan daya, semuanya sudah terlambat. Jika tindakannya sekarang ini dilakukan semasa dia menyedari suaminya bermain cinta dengan wanita itu, mungkin boleh diselamatkan lagi keadaan. Namun, kini terpaksalah dia terus memendam rasa. Suaminyapun sudah berkahwin dengan wanita itu.
Kisah ibu muda kedua pula, dia mengambil tindakan meminta cerai dengan suaminya apabila mengetahui suaminya bermain cinta dengan isteri orang yang jauh usia dari suaminya.
Suaminya memang tidak mahu menceraikannya, tetapi dengan campur tangan keluarga, maka terlerailah ikatan perkahwinan mereka.
Dari kisahnya, tahun pertama bercerai amat memedihkan, terasa sepi dan gelap dunia ini.
Kasihnya masih lagi pada bekas suaminya, yang begitu disayangi dan dipercayainya. Apatah lagi mempunyai anak-anak yang masih kecil.
Namun, berkat ketabahannya, dia kuatkan semangat dan azam untuk melupakan kisah sedihnya itu. Dibayangi selalu pada hatinya sikap suaminya yang amat melukakan hatinya. Bermula dari situlah, hari demi hari dia mampu melupakan kisah sedihnya itu dan dia kembali ceria bersama anak-anak.
Dia tidak mengharapkan lagi kasih daripada suaminya yang telah melukakan hatinya, malah dibuangnya jauh-jauh segala kenangan lalu.
Kini dia sudahpun mempunyai pekerjaan dan tempat tinggal sendiri. Tidak lagi mengharapkan belas kasih dari suaminya itu. Bagaimanapun, katanya, tanggungjawab sebagai ayah kepada anak-anak perlu dilaksanakan. Setiap bulan, bekas suaminya perlu memberi nafkah untuk anak-anak. Jika terabai, dia tidak akan berlengah untuk ke pejabat agama.
Setelah lebih tiga tahun melalui hidup sebagai ibu tunggal, dia tidak sedetikpun mengharapkan bekas suaminya pulang kepadanya semula. Malah, dia lebih gembira hidup bersama anak-anaknya. Bekas suaminya masih juga tidak berkahwin dengan buah hatinya itu, tetapi masih merayu kepada bekas isteri yang sudah dikecewakannya dahulu.
Nak dipanjangkan cerita, kedua-dua ibu muda ini berkenalan secara kebetulan. Maka terjalinkan persahabatan di antara mereka. Si ibu tunggal yang sudah bercerai ini berkongsi pengalaman bersama si ibu muda yang masih memendam rasa dengan sikap suaminya.
Namun, sekadar memberi pandangan dan nasihat serta bercerita pengalaman lalunya kepada si ibu muda supaya boleh dijadikan pedoman.
Bagaimanapun, keputusan di tangan yang empunya diri, jika dia sanggup terus hidup berkongsi kasih dalam keadaan hati yang parah, terserahlah.
Buatlah keputusan yang bijak dan jangan mengikut perasaan. Jika masih sayangkan rumahtangga yang dibina, teruskanlah hidup sebagai suami isteri, tetapi jika tidak sanggup lagi menanggungnya, dapatkan nasihat dan pandangan orang-orang yang tidak berkepentingan.
Walauapapun, sesungguhnya pada setiap kejadian yang berlaku ada hikmahnya dan jangan disalahkan takdir. Redha dengan ketentuan Allah kerana itu adalah yang terbaik bagi kita manusia yang hidup di muka bumi Allah ini.

Ahad, 15 Jun 2008

Bertemu, berkenal dan berpisah...

Bertemu, berkenal dan berpisah. Itulah lumrah alam. Namun, bagi yang mengerti ia akan terus pasrah dan membawa setiap detik kenangan itu di dalam dairi hidupnya. Mudah-mudahan akan berkekalanlah persahabatan dan tersimpul erat tali silaturrahim yang terjalin sepanjang sembilan minggu saya menyertai Kursus Kewartawanan Penyiaran di Institut Penyiaran Tun Abdul Razak (IPTAR).
Buat mu teman-teman, saya coretkan bingkisan ini sebagai menyampaikan suara hati yang sebenarnya begitu sayu apabila terpaksa berpisah setelah begitu lama masanya kita berada bersama dalam situasi yang penuh mesra.
Tidak pernah saya mengalami kesayuan begini, kerana setiap kalian yang menyertai kursus ini begitu dekat di hati saya dan saya anggap seperti saudara sendiri yang mahu bersama dalam setiap apa juga keadaan.
Senyum dan gelak tawa serta gurau senda semua yang menghiasi bilik kuliah, masih teriang-iang di telinga, malah di hati ini, ingin memanggil nama kalian agar dapat berkumpul seperti biasa dan berbicara tentang ilmu yang boleh dimanfaatkan bersama.
Masa yang berlalu begitu pantas, lebih pantas lagi apabila setiap kalian sudah saya kenali hati budi masing-masing.
Nama dan wajah kalian semua, silih berganti hadir di bayangan mata, terutama apabila kita berbicara tentang topik-topik penting yang dibawa oleh penceramah. Gerak geri, gelagat dan kerenah semua, menambahkan rindu saya pada kalian terutama apabila diberikan tugas-tugas yang begitu mendesak.
Kepada teman-teman yang sebumbung di asrama, kalian bagaikan keluarga terdekat yang mampu mengukir ruang kegembiraan di hati. Kita bagaikan sekumpulan unggas yang ke sana kemari dalam suasana yang harmoni dan tiada rasa sangsi di hati.
Taufik, Jumaahtun, Mahadir, Ghafar, Azura, Marian, Effa, Kristo, Affandi, Azizah, Amir, Saadiah, Arqam, Ati, Afni dan Wajihah, kalian telah melakar kisah di peta hati ini untuk saya kenang selama-lamanya.
InsyaAllah, jika ada kesempatan dan ruang masa yang mengizinkan, kita bertemu dan mengembalikan nostalgia lalu yang begitu indah.

Harap-harap bayu yang datang
Biarlah lembut, sejuk dan nyaman
Harap bertemu di lain gelanggang
Mengubat rindu pada mu teman

Selasa, 10 Jun 2008

KELANA terserlah kehebatannya

Kelab Akhbar Negeri Sembilan (KELANA) kini, telah mejangkau 20 tahun usianya. Telah matang dan mampu bertindak mengikut fikiran, lantas mengenepikan terus perasaan yang berbaur hasut menghasut ataupun mementingkan diri sendiri.
Sepanjang tempoh 20 tahun KELANA, tidak dinafikan kelab ini melalui begitu banyak laluan sukar terutama dalam menjaga nama baik kelab agar tidak disalahgunakan dan diambil kesempatan oleh ahli-ahli yang tidak bertanggungjawab.
Dengan kepimpinan Presidennya, Encik Razali Pilus, KELANA kini begitu disegani sebagai salah sebuah kelab yang tidak pernah menggadaikan maruah persatuan semata-mata untuk mencapai kehendak peribadi.
Setiap aktiviti yang dianjurkan, lebih menjurus ke arah membawa kebaikan kepada ahli-ahli dan masyarakat. Tidak sama sekali mengajar ahli-ahlinya, mencemarkan maruah KELANA dengan bersifat meminta-minta sehingga boleh dilabelkan sebagai kelab murahan.
Pastinya, Presiden KELANA sentiasa menasihatkan ahli-ahlinya, terutama barisan kepimpinan KELANA sendiri agar, jangan jadikan kelab ini sebagai medan untuk menangguk di air yang keroh.
Barisan kepimpinannya pula, begitu tegas dalam menjaga nama baik KELANA agar tidak berulang sejarah lalu yang boleh mencemarkan nama baik KELANA sehingga ada ketikanya hampir dibubarkan terus dari senarai kelab yang berdaftar di bawah pendaftaran pertubuhan.
Sejarah memang banyak mengajar KELANA sendiri terutama ketika memperjuangkan keikhlasan dalam berpersatuan. Amat sukar melalui detik ini, kerana kebanyakan ahli-ahlinya datang dan pergi kerana terpaksa berpindah tempat bertugas di luar Negeri Sembilan. Telah termaktub di dalam perlembagaannya sendiri, ahli-ahli KELANA adalah di kalangan warga media yang bertugas di dalam Negeri Sembilan sahaja.
Ibaratkan, bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan laut mana yang tidak bergelora, begitulah juga KELANA. Tidak dinafikan, rasa tidak puas hati dan dicabar dengan ketidak matangan segelintir yang dianggap parasit pernah mencalar luka dalam KELANA.
Bagaimanapun, berlandaskan kepada niat yang ikhlas, tiada agenda tertentu yang terselindung daripada peringkat kepimpinan ataupun ahlinya, KELANA tetap berdiri teguh dan sentiasa dihargai setiap penglibatannya di dalam apa juga aktiviti yang dianjurkan dan disertai.
Tahniah kepada Presidennya yang mampu membawa KELANA ke tahap yang disegani dan dihormati oleh keseluruhan persatuan-persatuan lain, jabatan-jabatan dan agensi kerajaan serta pihak swasta. Begitu juga dikalangan individu-individu yang banyak memberi sokongan kepada KELANA.
INSYAALLAH dengan berkat keikhlasan dan kejujuran di dalam berpersatuan, KELANA akan sentiasa dilimpahi kerahmatan dan keberkatan. Menjadi contoh terbaik dalam senarai persatuan yang membimbing ahli-ahlinya ke jalan yang diberkati dan diredai ALLAH.

Ahad, 8 Jun 2008

Permainan bola lumpur



Bermain bola di bendang, itulah antara acara menarik yang saya lihat sepanjang mengikuti Program Homestay Gemas yang dianjurkan oleh Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Sembilan (MTPN).
Kelihatannya amat menyeronokkan, apatah lagi disertai oleh pelajar-pelajar dari negara China, Nigeria, Myanmar, Indonesia dan Afrika. Bermandi lumpur mereka semua semata-mata untuk mendapatkan kemenangan di dalam perlawanan yang dianjurkan.
Acara ini memang sengaja diadakan di bendang dalam usaha pihak penganjur untuk mempelbagaikan aktiviti di bendang. Kebetulan pula bendang baru sahaja dibajak. Bersesuaian sekali diadakan acara seumpama ini. Meriah!!!
Setelah satu jam mereka bergelumang dengan lumpur, kesemua peserta berlari pula menuju ke sungai untuk membersihkan badan yang kotor.
Apa lagi, tak ingat dunia la mereka. Yang terjun tebing, yang berenang, yang menyelam dan pelbagai aksi dipamerkan.
Begitu asyik menikmati nyaman air sungai sehingga terjerit keluarga angkat masing-masing suruh pulang ke rumah kerana hari sudah beransur senja.

Anaconda di Negeri Sembilan

Anaconda, red-tailed boa yang dibawa dari Brazil serta Burmese python dari Burma menjadi daya penarik kepada pengunjung yang datang melawat ke Taman Ular Sawa di Ulu Bendul, Kuala Pilah.
Lebih menarik lagi apabila anaconda berkenaan telah melahirkan 13 ekor anak sebaik sahaja dibawa masuk dan ditempatkan di dalam sangkar di taman berkenaan.
Kelahiran anak ular ini menjadi satu ikon baru untuk menarik lebih ramai lagi pengunjung datang melawat selain daripada usaha lebih proaktif dilakukan untuk menjadikan taman ini lebih dikenali ramai.
Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan yang dipertanggungjawabkan mengurus taman ular berkenaan mengasingkan buat sementara waktu anak-anak ular anaconda itu sebagai langkah untuk menyesuaikan diri dengan keadaan alam persekitaran yang berbeza.
Anak ular ini berukuran 30 sentimeter dan berat antara 200 hingga 300 gram setiap ekor.
Taman Ular Sawa yang menjadi tarikan baru di Hutan Rekreasi Ulu Bendul ini, kini menempatkan 70 ekor daripada 30 spesies ular sawa seluruh dunia.
Terdapat juga anaconda dari spesies blood python, Borneo short tailed python, Amazon tree boa, albino Burmese python, Indian python dan Bolivian python.
Dengan perkembangan terbaru ini, Hutan Rekreasi Ulu Bendul akan berupaya menarik ribuan pelancong untuk datang, bukan sahaja mengkaji kehidupan dan tumbuhan liar, tetapi juga mendekati dan mengenali kehidupan ular sawa yang ditempatkan dalam sangkar-sangkar yang dibina dengan baik dan unik ini.
Kerajaan Negeri Sembilan juga akan berunding dengan mana-mana agensi yang berminat untuk menjadikan Taman Ular Sawa ini sebagai pusat penyelidikan, sekali gus menjaga pembiakan, kesihatan dan pusat sumber untuk reptilia ini.


Rabu, 4 Jun 2008

PERANGKAP CYBER

Baru-baru ini, saya bertemu seorang lelaki kenalan lama di salah sebuah restoran di bandar Seremban. Nak katakan saudara bolehlah juga, sebab dia kahwin dengan orang kampung yang sesuku dengan saya. Duduk semeja bersamanya adalah orang yang saya kenali juga. Keduanya menegur saya sebaik sahaja saya memasuki restoran berkenaan. Saya menghampiri meja mereka sekadar bertanyakan khabar. Akhir perbualan dia meminta nombor talipon saya.

Selang seminggu saya menerima masej darinya yang cuba untuk memerangkap diri saya ke arena bicara on line lucah. Tapi mukadimahnya menggunakan strategi bersopan santun, ingin memaklumkan sesuatu yang seolah-olah rahsia besar berupa gambar yang membabitkan orang politik. Tapi syaratnya jangan beritahu sesiapa, termasuk suami saya sendiri.

Untuk mengetahui apa sebenarnya saya menerima syaratnya, dan dia dengan pantas menghantar gambar-gambar berkenaan melalui MMS. Oleh kerana handphone saya tidak di aktifkan MMS, saya tidak dapat melihatnya, tetapi saya cuba menggunakan line internet. Dia meminta saya on line dalam internet melalui Yahoo! Messenger supaya senang untuk bersoal jawab mengenai gambar-gambar yang saya lihat.

Apabila saya melihat gambar-gambar yang dikirimkan, mengucap panjang saya. Yang anehnya muka orang berkenaan ditutup dan saya menyatakan padanya, sesiapapun boleh membuat tuduhan, tetapi untuk mempercayainya mungkin tidak kerana sudah jelas wajah sebenar tidak kelihatan pada gambar itu.

Bagaimanapun dia terus menghantar YM yang berbaur lucah, tetapi diselamatkan dengan fakta-fakta saintifik. Melalui YM itu, dia menjelaskan secara terperinci setiap keping gambar-gambar berkenaan. Saya terasa malu sendiri apabila melihat gambar itu. Saya cuba mengajukan persoalan untuk lari dari penjelasannya yang seperti ingin memerangkap saya ke dunia bicara dan perbuatan lucah. Tapi dia langsung tidak mengendahkan persoalan saya itu.

Saya mula memikirkan sesuatu. Apa sebenarnya agenda dia bersikap sebegitu kepada saya. Dalam fikiran saya, menyangkakan dia ada `something wrong’. Ada yang tak kena pada diri dia, saya pun mula mencari alasan untuk beredar dari YM. Begitu meluat saya dengan perbuatannya itu. Saya dapat agak apa sebenarnya dia akan lakukan jika saya terus melayan YMnya itu.

Berlalu daripada situ, saya langsung tidak mahu lagi menjawab call dan smsnya. Mungkin dia sangkakan saya begitu observe dengan sikapnya itu, lantas akan terjerumus ke kancah lucahnya itu.

InsyaAllah, saya masih punya harga diri dan hidup punya pedoman.

Selasa, 3 Jun 2008

Dato' Siti Rahmah pejuang bangsa


Entah mengapa hari itu, perjalanan hidupnya terasa begitu sepi. Terasa jauh dari anak cucu dan sahabat handai. Ingatannya kembali kepada arwah suami yang sudah lama meninggalkannya. Airmatanya tiba-tiba mengalir setiap kali berbicara sendiri. Kesedihannya sudah melangkaui ketabahannya.

Kehadiran saya di rumahnya yang terletak di Rumah Rakyat Chembong, menjawab persoalan di hati. Secara tiba-tiba saya teringatkannya sebaik sahaja melalui jalan Rembau - Seremban. Ingin singgah seketika menemuinya bertanyakan khabar dan bersalaman sebagai tanda kasih berpanjangan.

Rupa-rupanya, wanita yang bernama Dato’ Siti Rahmah itu masih dibelenggu kesedihan akibat kecederaan di kakinya kerana tercurah air panas yang sedang mendidih. Agak lama juga dia terpaksa duduk di rumah kerana tidak mampu untuk berjalan seperti biasa. Sepanjang bersendirian di rumahlah, berbagai-bagai perasaan bermain di fikirannya. Mudah benar tersinggung, sunyi mencengkam jiwa dan terasa seperti jauh dipinggirkan.

Bagaimanapun, rajuk di hati wanita yang telah menjangkau usia 82 tahun itu, terubat juga apabila selang setengah jam kehadiran saya, salah seorang anaknya datang menjengok.

Dato’ Siti Rahmah Kassim, dialah salah seorang wanita yang begitu kental semangat juangnya dan cekal dalam mengharungi setiap detik perjalanan hidup ke arah satu tujuan iaitu `kemerdekaan’.

Pengorbanan sejati
adalah dari keikhlasan dan keyakinan diri.
kepuasan diri
adalah melihat bangsa dan negara
hidup bersatu ditanah tumpah darah sendiri

Ikuti kisah seterusnya wanita unggul ini pada bicara akan datang saya yang bertajuk Gelang Merdeka.

Anak bangsa sedarlah dari leka

Akan bertambah bertuah bumi ini, jika peluh yang membasihinya adalah keringat daripada anak bangsa yang pandai menghargai keamanan dan keharmonian. Malah akan bertambah bertuah lagi bumi ini, jika kaki-kaki yang memijaknya adalah anak bangsa yang kental semangatnya dan kuat jati dirinya.

Sesungguhnya, terlalu besar anugerah yang Allah limpahkan untuk dinikmati oleh anak bangsa yang menghuni di muka bumi Malaysia ini. Jika pandai dimanfaatkan setiap pancaindera yang dianugerahkan, sudah pasti anak bangsa mampu berbakti dan berbudi di bumi sendiri. Mampu meneruskan perjuangan generasi lalu, yang sanggup bersabung nyawa demi memberi kesenangan kepada anak cucu mereka.

Namun, agak terkilan rasanya, apabila setiap penjuru pandangan mata, tertumpu kepada golongan pendatang asing. Mereka pantas dan rakus merebut peluang untuk mengisi ruang yang tidak mahu diterokai oleh anak bangsa di bumi ini. Mereka jadikan bumi Malaysia ini sebagai kancah menghimpunkan permata. Dari jauh sudah dilihatnya ada kekayaan yang boleh diterokai, biarpun permulaannya sanggup bersusah dan merempat demi mencari sesuap nasi.

Sudahnya, tsemakin ramailah yang membanjiri negara ini dan tidak mustahil suatu ketika nanti semakin cerdik pula mereka untuk menyiapkan diri menjadi tuan di bumi orang. Takut pula nanti, dalam diam sudah terencana hemah berhelah yang mampu menggugat ketenteraman negara.

Akhirnya, tergadailah maruah bangsa dan negara.