Ibu muda pertama ini mempunyai seramai empat orang anak yang masih kecil. Suaminya bermain cinta dengan seorang balu yang jauh usia dari suaminya. Jarak rumah pula cuma melangkau dua rumah jiran mereka. Lebih menyakitkan dan menyedihkan hatinya lagi apabila suaminya telah berkahwin dengan wanita yang sangat dikenalinya sebelum ini. Dia tidak dapat membendung perasaan pilu di hatinya dan amat payah untuk mengawal perasaan kerana sikap suaminya seperti tunduk dengan kerenah `isteri mudanya’ itu.
Hari demi hari, hatinya semakin dibaluti rasa tidak puas hati, malah menyimpan perasaan benci yang begitu menebal di hatinya terhadap wanita itu yang sebelum ini dianggap seperti saudara sendiri yang banyak menabur budi kepada keluarganya.
Ibu muda ini cuba untuk menebis setiap perasaan sakit hatinya dan membuang jauh perasaan gundah gelananya dengan membawa diri mencari pekerjaan sebagai tiada lagi ruang untuk dia melayan perasaan.
Setiap hari dia menyibukkan diri bekerja dan belajar hidup berdikari di samping menjaga anak-anak yang masih kecil.
Namun, dia kalah dalam melawan perasaannya, malah semakin hari dia amat terluka dan tidak mampu bertahan untuk bersikap sabar.
Memanglah berat mata memandang, berat lagi bahunya yang memikul. Tapi apakan daya, semuanya sudah terlambat. Jika tindakannya sekarang ini dilakukan semasa dia menyedari suaminya bermain cinta dengan wanita itu, mungkin boleh diselamatkan lagi keadaan. Namun, kini terpaksalah dia terus memendam rasa. Suaminyapun sudah berkahwin dengan wanita itu.
Kisah ibu muda kedua pula, dia mengambil tindakan meminta cerai dengan suaminya apabila mengetahui suaminya bermain cinta dengan isteri orang yang jauh usia dari suaminya.
Suaminya memang tidak mahu menceraikannya, tetapi dengan campur tangan keluarga, maka terlerailah ikatan perkahwinan mereka.
Dari kisahnya, tahun pertama bercerai amat memedihkan, terasa sepi dan gelap dunia ini.
Kasihnya masih lagi pada bekas suaminya, yang begitu disayangi dan dipercayainya. Apatah lagi mempunyai anak-anak yang masih kecil.
Namun, berkat ketabahannya, dia kuatkan semangat dan azam untuk melupakan kisah sedihnya itu. Dibayangi selalu pada hatinya sikap suaminya yang amat melukakan hatinya. Bermula dari situlah, hari demi hari dia mampu melupakan kisah sedihnya itu dan dia kembali ceria bersama anak-anak.
Dia tidak mengharapkan lagi kasih daripada suaminya yang telah melukakan hatinya, malah dibuangnya jauh-jauh segala kenangan lalu.
Kini dia sudahpun mempunyai pekerjaan dan tempat tinggal sendiri. Tidak lagi mengharapkan belas kasih dari suaminya itu. Bagaimanapun, katanya, tanggungjawab sebagai ayah kepada anak-anak perlu dilaksanakan. Setiap bulan, bekas suaminya perlu memberi nafkah untuk anak-anak. Jika terabai, dia tidak akan berlengah untuk ke pejabat agama.
Setelah lebih tiga tahun melalui hidup sebagai ibu tunggal, dia tidak sedetikpun mengharapkan bekas suaminya pulang kepadanya semula. Malah, dia lebih gembira hidup bersama anak-anaknya. Bekas suaminya masih juga tidak berkahwin dengan buah hatinya itu, tetapi masih merayu kepada bekas isteri yang sudah dikecewakannya dahulu.
Nak dipanjangkan cerita, kedua-dua ibu muda ini berkenalan secara kebetulan. Maka terjalinkan persahabatan di antara mereka. Si ibu tunggal yang sudah bercerai ini berkongsi pengalaman bersama si ibu muda yang masih memendam rasa dengan sikap suaminya.
Namun, sekadar memberi pandangan dan nasihat serta bercerita pengalaman lalunya kepada si ibu muda supaya boleh dijadikan pedoman.
Bagaimanapun, keputusan di tangan yang empunya diri, jika dia sanggup terus hidup berkongsi kasih dalam keadaan hati yang parah, terserahlah.
Buatlah keputusan yang bijak dan jangan mengikut perasaan. Jika masih sayangkan rumahtangga yang dibina, teruskanlah hidup sebagai suami isteri, tetapi jika tidak sanggup lagi menanggungnya, dapatkan nasihat dan pandangan orang-orang yang tidak berkepentingan.
Walauapapun, sesungguhnya pada setiap kejadian yang berlaku ada hikmahnya dan jangan disalahkan takdir. Redha dengan ketentuan Allah kerana itu adalah yang terbaik bagi kita manusia yang hidup di muka bumi Allah ini.
Selasa, 17 Jun 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan