ANGELA by Jose Feliciano

" />
Hendak ku pikat burung di hutan
tapi disambar helang sejoli
hendak ku jerat hati mu teman
jadi perindu blog ku ini

Ahad, 23 November 2008

KASIH SEORANG SAHABAT

Dua tiga minggu ni fikiran celaru sikit. Tak tahulah kenapa? Mungkin juga disebabkan teman sekerja ku sudah berpindah ke jabatan lain. Rasa seperti kehilangan juga sebab selalu bersama dengan dia. Tak kira dalam apa waktu sekalipun, teman ku ini sering menemani aku terutama apabila tugasan ku hingga ke lewat malam. Kami sering berkongsi pendapat dan saling bantu membantu.

Berbelas tahun aku bersama dengannya. Susah dan senang selalu bersama. Seperti semangat ku hilang tiba-tiba. Mengambil masa lama juga untuk aku pulihkan kembali keadaan ku ini yang kadang-kadang terpaksa akur pada keadaan yang sama sekali tidak aku sangkakan.

Entahlah sering aku mengeluh sendirian, mencari di mana kesilapan sebenarnya.

Ku sangkakan panas hingga ke petang,
rupanya hujan di tengahari,
ku harapkan persahabatan kekal aman,
namun terbatas di pertengahan.

Begitulah keadaannya. sejak dia bertukar, aku langsung tidak menerima panggilannya, begitu jugalah di sebaliknya, bila aku call, panggilan aku tidak dijawap. Marahkah? Merajukkah? Dan macam-macam persoalan timbul. Tidakkah sedikitpun di hatinya teringatkan kisah-kisah lama sepanjang bersahabat bersama ku sehinggakan tiada sekelumitpun rasa rindunya pada seorang sahabat yang sentiasa mengingati dirinya?

Sepanjang persahabatan ku dengannya, aku mengganggapnya sebagai sahabat yang begitu rapat dengan ku. Apatah lagi bila aku mengenali ibu bapa dan seluruh keluarganya. Pernah terpanggil hati ku untuk melawatnya ketika keadaannya tidak sihat dan pernah aku menasihatinya apabila sesuatu tindakannya tersasar. Namun, pada luarannya ku lihat dia tidak pernah mengambil hati dengan setiap teguran ku. Tetapi di dalam hatinya aku tidak dapat menjangkakan apa sebenarnya yang berlaku.

Di akhir perpisahan kami, aku begitu terkilan kerana tiada salam perpisahan dihulurkan. Lidah seakan kelu untuk berkata-kata dan pandangan bagaikan sudah terlindung oleh jarak yang bersilang.

Walau apapun, sahabat ku, kau tetap aku ingati selalu. Sebagai seorang sahabat yang pernah dekat di hati ku. Akan aku kenang setiap budi baik yang dihulurkan. Kisah suka duka sepanjang bersama akan menjadi lipatan dalam sejarah hidup ku sebagai seorang sahabat yang pernah aku kenali suatu ketika dahulu.

Sabtu, 8 November 2008

BUAT MU RUBAATUL ADAWIYAH

“Kalau boleh nyawa ini ditukar ganti, ingin saja saya berikan nyawa saya. Apabila memandang ke liang lahad, terasa ingin saya terjun.”

Begitulah ungkapan kata-kata Rubaatul Adawiyah kepada saya ketika saya mengunjungi rumahnya yang masih suram dengan kehilangan orang tersayang sebagai tempat dia dan anak-anak bergantung hidup dan menumpang kasih.

Terasa semangatnya seperti telah dibawa pergi dan disemadikan bersama jasad yang pernah suatu ketika dicurahkan segala jiwa raga. Apakah esok akan datang sinar yang menjadi penyuluh kegelapan, memberi arah kepada sebuah kehidupan yang penuh dengan kebahagiaan?

Pastinya Allah Maha mengetahui. Segala ujiannya ada hikmah yang diberikan. Segalanya kehendak Allah. Ajal maut, jodoh pertemuan adalah ketentuanNya. Redha dan pasrah dengan segala yang berlaku.

Buat mu Rubaatul Adawiyah…

Kuatkan semangatmu. Anak-anak yang masih kecil itu, berilah kasih sayang dengan sepenuhnya dan didiklah ia dengan ilmu dunia dan akhirat, agar terubat kelukaan dan kesedihan dengan pemergian insan yang bergelar suami.

Usah didendami pada kezaliman yang dilakukan oleh seseorang yang tidak mempunyai hati dan perasaan terhadap suamimu. Penderitaan yang dialaminya itu telah menoktahkan bercerai nyawa dari jasad. Perginya ia dengan hati dan jiwa yang bersih, terhapus sudah segala dosanya di atas penganiayaan yang dilakukan oleh insan yang tidak langsung ada sifat belas kasihan terhadap dirinya.

Semakin kelam pandangan Rubaatul Adawiyah, sebaik sahaja melihat sekujur tubuh yang sudah lama tidak bermaya itu telah menghembuskan nafas terakhirnya. Ada rasa terkilan di hatinya kerana tidak berada di sisi suami di saat-saat perpisahan itu. Waktu itu, Rubaatul Adawiyah baru sahaja selesai menunaikan solat Zohor. Imannya masih teguh, percaya pada ketentuan Allah, kalau sudah sampai masanya, sesaatpun tidak boleh ditunggu, redha dengan pemergiaan suaminya.

Dengan linangan airmata, Rubaatul Adawiyah, menyingkap kembali kisah ketika hayat suaminya yang mengalami batuk sejak dua tahun lalu. Kegembiraan sekeluarga hanya dikecapi cuma seketika. Batuk yang dialami suaminya mengeluarkan ketulan darah yang begitu banyak. Hari demi hari penyakit yang dialami telah merosakkan keseluruhan organ dalamannya. Puas mencari penawar penyembuh penyakit, namun usaha kian buntu. Pengakhirnya, pergilah suami buat selama-lamanya meninggalkan anak-anak yang masih kecil di samping seorang isteri yang masih belum pulih semangatnya.

Teman-teman blogku, inilah salah satu kisah yang ingin ku kongsi buat tatapan dan renungan bersama. Kisah ini ku ketahui susulan daripada tugasan yang ku lakukan untuk menjejaki nasib mereka yang kurang bernasib baik yang memerlukan perhatian daripada Kerajaan Negeri. Kebanyakan tinjauan yang telah ku lakukan, telah membawa diri ku seolah-olah berada bersama-sama di dalam kehidupan mereka. InsyaAllah, semoga ada jalan penyelesaian yang terbaik dapat dilakukan buatmu Rubaatul Adawiyah dan anak-anakmu.