ANGELA by Jose Feliciano

" />
Hendak ku pikat burung di hutan
tapi disambar helang sejoli
hendak ku jerat hati mu teman
jadi perindu blog ku ini

Selasa, 23 Disember 2008

APABILA SI COMEL BERTAHI LALAT



Manis kelihatannya apabila si comel ini bertahi lalat di muncung. Tertarik pula saya melihatnya dan cuba untuk menangkapnya tetapi kuching ini liar rupanya. Cuma jinaknya pada tuannya seorang sahaja yang sering memberikannya makan.

POKOK KELAPA BERTUNAS LAGI



Pernahkah anda melihat kelapa bertunas ketika pokoknya sedang membesar? Setahu saya bertunasnya cuma pada buah kelapa yang sudah tua. Tapi lain pula yang ini, dipangkal pokoknya tumbuh satu lagi tunas yang mungkin apabila besar nanti pokok kelapa ini akan bercabang.

Beginilah keadaanya pokok kelapa itu yang kini tumbuh subur di tanah bersebelahan rumah ibu ku di Kampung Jiboi Baru, Ampangan, Negeri Sembilan.

Kata ibu ku, kemungkinan, pokok asalnya (kakak) akan beralah dan membiarkan pokok baru (adik) membesar. Walau apapun kita lihat sedikit masa lagi, apakah akan terjadi seterusnya.

KIKI DALAM KENANGAN




Patah tumbuh hilang berganti. Tetapi yang patah dan yang hilang tidak sama dengan yang baru. Kali pertama menemuinya hati telah terpikat. Gelagatnya begitu melucukan dan kejinakannya menjadi satu tarikan kepada sesiapa jua yang mengunjungi Ladang Ternakan Rusa di Juasseh, Kuala Pilah.

`Kiki’ begitu istimewa diantara ratusan rusa yang diternak di ladang berkenaan. Membesarnya tidak dimanjai oleh ibu, malah ditinggalkan begitu sahaja tanpa dipedulikan walau sesaat pun. Kehidupan Kiki begitu terasing, sering bersendirian dan temannya adalah penjaga ladang yang telah membesarkannya ketika usianya enam hari dan disisihkan oleh ibu sendiri.


Tapi kini, Kiki telah tiada. Saya baru mengetahuinya sebaik sahaja menghubungi salah seorang penjaga ladang berkenaan pada petang tadi (23 Disember 2008). Kiki adalah diantara puluhan rusa yang disembelih sempena menyambut Hari Raya Puasa yang lalu. Dalam kumpulan rusa yang dimasukkan di rumah sembelih, rupa-rupanya Kiki ada di dalam kumpulan itu. Kesemua rusa-rusa itu sukar untuk dibezakan, kelihatan semuanya serupa. Tanpa disedari, Kiki turut disembelih. Disedari sebaik sahaja dagingnya mahu dilapah.

Alangkah terharunya penjaga Kiki yang sering memanjakannya sejak kecil lagi. Malah kehidupannya seperti sudah sebati dengan manusia. Namun, apalah daya, kelalaian yang berlaku telah mengorbankan Kiki yang merupakan satu-satunya rusa yang terlalu istimewa bagi ku di ladang itu.





Walaupun kini, ada `Timah’ yang telah dijinakkan di ladang itu, namun tidak sama dengan Kiki yang kejinakannya itu secara tersendiri.