“Kalau boleh nyawa ini ditukar ganti, ingin saja saya berikan nyawa saya. Apabila memandang ke liang lahad, terasa ingin saya terjun.”
Begitulah ungkapan kata-kata Rubaatul Adawiyah kepada saya ketika saya mengunjungi rumahnya yang masih suram dengan kehilangan orang tersayang sebagai tempat dia dan anak-anak bergantung hidup dan menumpang kasih.
Terasa semangatnya seperti telah dibawa pergi dan disemadikan bersama jasad yang pernah suatu ketika dicurahkan segala jiwa raga. Apakah esok akan datang sinar yang menjadi penyuluh kegelapan, memberi arah kepada sebuah kehidupan yang penuh dengan kebahagiaan?
Pastinya Allah Maha mengetahui. Segala ujiannya ada hikmah yang diberikan. Segalanya kehendak Allah. Ajal maut, jodoh pertemuan adalah ketentuanNya. Redha dan pasrah dengan segala yang berlaku.
Buat mu Rubaatul Adawiyah…
Kuatkan semangatmu. Anak-anak yang masih kecil itu, berilah kasih sayang dengan sepenuhnya dan didiklah ia dengan ilmu dunia dan akhirat, agar terubat kelukaan dan kesedihan dengan pemergian insan yang bergelar suami.
Usah didendami pada kezaliman yang dilakukan oleh seseorang yang tidak mempunyai hati dan perasaan terhadap suamimu. Penderitaan yang dialaminya itu telah menoktahkan bercerai nyawa dari jasad. Perginya ia dengan hati dan jiwa yang bersih, terhapus sudah segala dosanya di atas penganiayaan yang dilakukan oleh insan yang tidak langsung ada sifat belas kasihan terhadap dirinya.
Semakin kelam pandangan Rubaatul Adawiyah, sebaik sahaja melihat sekujur tubuh yang sudah lama tidak bermaya itu telah menghembuskan nafas terakhirnya. Ada rasa terkilan di hatinya kerana tidak berada di sisi suami di saat-saat perpisahan itu. Waktu itu, Rubaatul Adawiyah baru sahaja selesai menunaikan solat Zohor. Imannya masih teguh, percaya pada ketentuan Allah, kalau sudah sampai masanya, sesaatpun tidak boleh ditunggu, redha dengan pemergiaan suaminya.
Dengan linangan airmata, Rubaatul Adawiyah, menyingkap kembali kisah ketika hayat suaminya yang mengalami batuk sejak dua tahun lalu. Kegembiraan sekeluarga hanya dikecapi cuma seketika. Batuk yang dialami suaminya mengeluarkan ketulan darah yang begitu banyak. Hari demi hari penyakit yang dialami telah merosakkan keseluruhan organ dalamannya. Puas mencari penawar penyembuh penyakit, namun usaha kian buntu. Pengakhirnya, pergilah suami buat selama-lamanya meninggalkan anak-anak yang masih kecil di samping seorang isteri yang masih belum pulih semangatnya.
Teman-teman blogku, inilah salah satu kisah yang ingin ku kongsi buat tatapan dan renungan bersama. Kisah ini ku ketahui susulan daripada tugasan yang ku lakukan untuk menjejaki nasib mereka yang kurang bernasib baik yang memerlukan perhatian daripada Kerajaan Negeri. Kebanyakan tinjauan yang telah ku lakukan, telah membawa diri ku seolah-olah berada bersama-sama di dalam kehidupan mereka. InsyaAllah, semoga ada jalan penyelesaian yang terbaik dapat dilakukan buatmu Rubaatul Adawiyah dan anak-anakmu.
Sabtu, 8 November 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Entah kenapa, setiap kali aku baca blog kak Ju, meremang bulu romaku berdiri kak u. Bukan aku habis baca pun tapi Kak Ju bermain kata, bermadah puisi sajak mendayu itulah yang buat aku teruja nak baca blog kak Ju. Kat ceruk mana Kak Ju cari kata-kata mendayu tu? Bolehlah kongsi bersama sama. Kut-kut jadi bekal saya di perjalanan jauh nanti ke? Apo kabo kak Ju? Saya rindulah dengan masakan Orang Nogori Sembilan ni..... Alahai, kalau saya pegi KL nanti, saya nak ambik cuti lebih sikit khas melawat Kak Ju bolehhhhh!!!!!
Catat Ulasan