ANGELA by Jose Feliciano

" />
Hendak ku pikat burung di hutan
tapi disambar helang sejoli
hendak ku jerat hati mu teman
jadi perindu blog ku ini

Khamis, 28 Ogos 2008

Dato' Siti Rahmah pejuang bangsa


Entah mengapa hari itu, perjalanan hidupnya terasa begitu sepi. Terasa jauh dari anak cucu dan sahabat handai. Ingatannya kembali kepada arwah suami yang sudah lama meninggalkannya. Airmatanya tiba-tiba mengalir setiap kali berbicara sendiri. Kesedihannya sudah melangkaui ketabahannya.Kehadiran saya di rumahnya yang terletak di Rumah Rakyat Chembong, menjawab persoalan di hati. Secara tiba-tiba saya teringatkannya sebaik sahaja melalui jalan Rembau - Seremban. Ingin singgah seketika menemuinya bertanyakan khabar dan bersalaman sebagai tanda kasih berpanjangan.Rupa-rupanya, wanita yang bernama Dato’ Siti Rahmah itu masih dibelenggu kesedihan akibat kecederaan di kakinya kerana tercurah air panas yang sedang mendidih. Agak lama juga dia terpaksa duduk di rumah kerana tidak mampu untuk berjalan seperti biasa. Sepanjang bersendirian di rumahlah, berbagai-bagai perasaan bermain di fikirannya. Mudah benar tersinggung, sunyi mencengkam jiwa dan terasa seperti jauh dipinggirkan.Bagaimanapun, rajuk di hati wanita yang telah menjangkau usia 82 tahun itu, terubat juga apabila selang setengah jam kehadiran saya, salah seorang anaknya datang menjengok.Dato’ Siti Rahmah Kassim, dialah salah seorang wanita yang begitu kental semangat juangnya dan cekal dalam mengharungi setiap detik perjalanan hidup ke arah satu tujuan iaitu `kemerdekaan’.Pengorbanan sejatiadalah dari keikhlasan dan keyakinan diri.kepuasan diriadalah melihat bangsa dan negarahidup bersatu ditanah tumpah darah sendiri

Anak bangsa sedarlah dari leka

Akan bertambah bertuah bumi ini, jika peluh yang membasihinya adalah keringat daripada anak bangsa yang pandai menghargai keamanan dan keharmonian. Malah akan bertambah bertuah lagi bumi ini, jika kaki-kaki yang memijaknya adalah anak bangsa yang kental semangatnya dan kuat jati dirinya. Sesungguhnya, terlalu besar anugerah yang Allah limpahkan untuk dinikmati oleh anak bangsa yang menghuni di muka bumi Malaysia ini. Jika pandai dimanfaatkan setiap pancaindera yang dianugerahkan, sudah pasti anak bangsa mampu berbakti dan berbudi di bumi sendiri. Mampu meneruskan perjuangan generasi lalu, yang sanggup bersabung nyawa demi memberi kesenangan kepada anak cucu mereka.Namun, agak terkilan rasanya, apabila setiap penjuru pandangan mata, tertumpu kepada golongan pendatang asing. Mereka pantas dan rakus merebut peluang untuk mengisi ruang yang tidak mahu diterokai oleh anak bangsa di bumi ini. Mereka jadikan bumi Malaysia ini sebagai kancah menghimpunkan permata. Dari jauh sudah dilihatnya ada kekayaan yang boleh diterokai, biarpun permulaannya sanggup bersusah dan merempat demi mencari sesuap nasi.Sudahnya, tsemakin ramailah yang membanjiri negara ini dan tidak mustahil suatu ketika nanti semakin cerdik pula mereka untuk menyiapkan diri menjadi tuan di bumi orang. Takut pula nanti, dalam diam sudah terencana hemah berhelah yang mampu menggugat ketenteraman negara. Akhirnya, tergadailah maruah bangsa dan negara.

Ahad, 24 Ogos 2008

AKU BUKAN PENGKHIANAT BANGSA

Ku genggam
tanah bumi bertuah
bersama tekad sebati di jiwa
demi menjaga maruah bangsa
ku simpul mati
ikatan janji
aku bukan pengkhianat bangsa

langkah ku
tak akan songsang
pada jarak yang pasti
akal ku
tak akan kecundang
walau ditabur emas berguni
aku bukan pengkhianat bangsa
sanggup menggadai maruah negara

berpijak aku di bumi ini
bukan pencalar berulang luka
bukan perebut tamak haluba
bukan pencetus porak peranda
bukan perakus penghancur negara

tapi aku
anak bangsa merdeka
daun beralih muda
bersama tekad
menjadi benteng
menahan amukan rasa
menahan nafsu gelora
pada mereka yang jasadnya
tanpa jiwa
tanpa rasa
tanpa sayang
walau secalit kenangan

aku bukan pengkhianat bangsa
membuang permata yang ada
menabur kaca-kaca berbisa
menyubur sembilu melata
menjerat nyawa
pada yang tidak berdosa

Isnin, 18 Ogos 2008

OLEK DEN DAH SOLOSAI

Alhamdulillah…bak kata orang Nogori, solosai dah olek den…penatnya macam buat kenduri kahwin…Mudah melafazkan, tapi untuk melaksanakannya, terpaksa berdepan dengan berbagai-bagai kerenah. Bagaimanapun, dengan berkat usaha gigih, kesepakatan, semangat kerjasama dan yang paling penting keikhlasan, program Kembara Amal Pelancongan Negeri Sembilan (KAPNS) 2008 yang dianjurkan oleh Kelab Akhbar Negeri Sembilan atau singkatannya KELANA berlangsung dengan jayanya.
Pada mulanya terasa gentar juga, takut tidak mendapat sambutan. Malahan di kalangan wartawan di Negeri Sembilan ni bukanlah ramai sangat, apatah lagi kebanyakan mereka terpaksa berdepan dengan tugasan yang tidak tentu masa. Berlandaskan kepada `kebersihan hati’ antara sesama ahli, tanpa menyimpan perasaan buruk sangka, curiga mencurigai, salah menyalahkan, kata mengata, cemburu mencemburi, dengki mendengki dan khianat mengkhianati, program ini menempa kejayaan di luar dugaan. Hanya pada Allah SWT kami melafazkan rasa kesyukuran di atas limpah nikmat dan kerahmatan yang diberikan kepada kami semua.
Kerjasama yang kami perolehi daripada pihak kerajaan negeri, terutama daripada peringkat kepim pinannya Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Dato’ Norzam Mohd Nor, Exco-Exco Kerajaan Negeri, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan, memberi semangat kepada kami untuk berusaha bersungguh-sungguh agar KAPNS ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Begitu juga kepada jabatan dan agensi kerajaan seperti Unit Penggalak Pelancongan (UPP), Tourism Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat Muzium Lukut, Kraftangan Negeri Sembilan, Majlis Perbandaran Seremban, Jabatan Keselamatan Jalan Raya, RTM dan Negeri FM serta Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Sembilan, kami amat hargai kepercayaan dan keyakinan yang diberikan untuk KELANA menganjurkan program KAPNS ini.

Tidak kami lupa kepada syarikat swasta yang turut membantu dan memberikan kerjasama yang padu seperti ExxonMobil, AFQ, Pencetakan Cahaya Murni, Tiara Beach Resort dan Samsung, jasa kalian kami sanjung tinggi.

Budi diberi penghias diri
Dalam ingatan jadi kenangan
Walau jauh melangkah pergi
Jasa dikenang sepanjang zaman

Presiden KELANA Encik Razali Pilus…teruskan perjuangan sebagai pemimpin yang meletakkan persatuan sebagai lambang menyatupadukan ahli dengan sifat-sifat terpuji, tanpa mengejar kepentingan peribadi. Teruskan perjuangan tanpa menjadikan persatuan sebagai badut untuk mencari keuntungan. Semoga keikhlasan yang lahir dari ketulusan hati itu, melimpahkan sejuta kerahmatan yang berpanjangan kebahagiaannya. Amin.

Jangan dicalar sekeping hati
Kalau jiwa kuat imannya
Jangan digadai maruah diri
Kalau diri sempurna sifatnya.



Rabu, 13 Ogos 2008

KERANA WANG RM10

Tak pasal-pasal kerana wang RM10 pihak yang menganjurkan program Pencarian Harta Karun gagal dalam misinya. Aku tak tahulah apa kesudahannya selepas tu. Mungkin teruk agaknya pihak penganjur bersoal jawab dengan peserta-peserta yang menyertai program tersebut. Aku mendengar cerita ini semasa dinner bersama kakak dan anak-anak buah di Restoran Pak Wan Nasi Ayam yang terletak di Bandar Senawang.

Bermula kisahnya, ada sekumpulan pekerja ukur sedang membuat kerja-kerja ukur di salah sebuah kawasan yang bersemak samun dan bolehlah dikatakan belantara kecil juga. Semasa mereka sibuk membuat kerja, ternampaklah oleh mereka sekeping wang RM10 terletak pada sebatang kayu di tengah-tengah semak tu. Apa lagi salah seorang daripada mereka ambillah wang itu dan rezeki katanya. Apa tidaknya, terjumpa wang di tengah belantara kecil. Mereka pun tanpa berfikir panjang ambil wang tersebut dan simpan di dalam poket. Kerja-kerja ukur diteruskan seperti biasa.

Bagaimanapun, kehairanan juga sekumpulan pekerja ukur itu bila melihat bersilih ganti sekumpulan orang datang menghampiri kawasan berkenaan dan memerhati dari bawah sampai ke atas, kayu yang terpacak di tengah semak samun tu. Fikir punya fikir, barulah mereka faham, mungkin wang RM10 yang diambilnya tadi ada kena mengena dengan program Pencarian Harta Karun oleh pasukan-pasukan yang menghampiri kawasan belantara kecil itu.

Emmm….pekerja ukur tu melihat sahaja gelagat mereka semua yang seperti tertanya-tanya sendiri. Wang RM10 yang diambil oleh pekerja ukur tadi tidak pula diletakkan balik, malah mereka buat tak tahu sahaja, mungkin malu agaknya nak mengaku.

Apapun, saya boleh buat kesimpulan, teruk agaknya pihak penganjur nak menjawab soalan yang berkaitan dengan wang RM10 tu.

Itulah pasal, banyak soalan lain lagi boleh dikemukakan, yang pegi letak wang kat belantara kecil itu apa pasal????????

Kisah mengenai wang RM10 ni terjadi juga kepada emak yang tiba-tiba buka tong sampah depan rumah, ternampak sekeping kertas merah yang mempunyai nilai. Diambilnya wang tersebut, tapi lepas itu habis semua anak-anak di taliponnya bertanyakan kalau-kalau ada diantara mereka yang terbuang wang berkenaan. Tapi tak pula ada? Hairan juga emak memikirkan hal itu. Tapi sebelum itu adalah dia nampak budak-budak mundar mandir berhampiran tong sampah berkenaan, ada yang membuka penutupnya dan melihat di dalam tong dan kemudian menutupnya semula. Kemudian budak-budak tu terus beredar.

Mungkinkah mereka yang empunya wang tersebut? Kalau ia, mengapa diletakkan di dalam tong sampah tepi jalan? Adakah wang RM10 itu rezeki bagi orang yang menjumpainya?