ANGELA by Jose Feliciano

" />
Hendak ku pikat burung di hutan
tapi disambar helang sejoli
hendak ku jerat hati mu teman
jadi perindu blog ku ini

Isnin, 1 September 2008

CATATAN HATI ANAK MERDEKA 1

Entah mengapa sambutan Ambang Merdeka pada kali ini terasa sedih yang teramat sangat. Sebaik sahaja selesai sesi temuramah bersama YAB. Menteri Besar Negeri Sembilan, saya tidak terus ke khemah VIP untuk menyaksikan tibanya detik 12 malam. Terasa sebak dada ini dan sayu hati ini apabila melihat ribuan manusia yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat membanjiri padang Majlis Perbandaran Seremban, di mana berlangsungnya sambutan Ambang Merdeka.
Yang datang bertali arus, memimpin dan mendukung anak-anak kecil untuk sama-sama memeriahkan sambutan. Jelas keriangan pada wajah mereka. Gurau senda dan gelak tawa meriuhkan lagi suasana. Berlegar-legar mata ini memandang di setiap penjuru, memerhati dan mendengar setiap bicara mereka. Indah belaka dan yang penting kehadiran mereka pada malam itu adalah untuk berhibur dan bersantai bersama keluarga dan sahabat handai.
Berkata dalam hati ini dan timbul persoalan di benak fikiran ini:

Apakah esok yang mendatang
dapat kita kecapi keindahan yang serupa?
Apakah esok yang mendatang
dapat kita jejaki lagi hamparan hijau di bumi indah ini?
Dan
Apakah esok yang mendatang
dapat kita laungkan semula kemerdekaan negara
diiring seri percikan cahaya indah di langit?

Semakin pantas kaki ku melangkah, mencari teduh tika gerimis. Jauh aku merenung mencari jawapan pada diri. Dalam kerakusan manusia yang melayan emosi gelora, tidakkah terfikir insan-insan ini, ingin terus terbela dan aman kehidupannya. Memadai kesederhanaan yang dirasai, cukup bekalan untuk disuap dan diminum.

Tapi, dimanakah letakya hati dan perasaan? Sehinggakan segelintir mereka, tidak mempedulikan lagi keikhlasan dalam perjuangan. Yang penting bagi mereka adalah ketamakan, timbunan harta berjuta-juta dan kepuasan hati yang meletakkan perasaan pada tahap yang tertinggi. Melangkau akal dan fikiran, sehinggakan tidak mempedulikan lagi akibat yang bakal mendatang. Berpecah sesama kumpulan, saling menuding jari dan salah menyalahkan. Apakah yang dicari sebenarnya? Kepuasan diri? Mahu hidup terus mendabik dada? Seolah-olah dunia ini Ana Yang Punya?

Sungguh syahdu hati ku mengenang semuanya.

Jika ribut dan taufan yang datang,
masih boleh dipujuk hati
akibat kejadian alam
tapi...

kalau ribut dan taufan yang datang
dari kerakusan manusia
penuh tamak dan kotor hatinya
tidak mungkin dapat
keampunan dan kemaafan.