ANGELA by Jose Feliciano

" />
Hendak ku pikat burung di hutan
tapi disambar helang sejoli
hendak ku jerat hati mu teman
jadi perindu blog ku ini

Rabu, 21 Januari 2009

CEGAH SEBELUM PADAH




Kebetulan hari ini bertegur sapa dengan seorang pelajar yang kelihatannya menahan kesakitan di bahagian tangannya. Saya mengajukan pertanyaan kepada pelajar berkenaan, kenapa tangan tu berbalut?

Dengan sopan, pelajar itu berkata, berlaku kemalangan kecil semasa di makmal kimia. Saya bertanya lagi, kenapa boleh jadi begini? Katanya semasa ujikaji, guru tidak memberikan sarung tangan sebagai langkah keselamatan dengan alasan sarung tangan sudah kehabisan.

Saya terus mengekori pelajar berkenaan dan melihat sendiri dia membuka balutan. Kelihatan kulitnya melecur dan terdapat luka-luka di celah jarinya. Tangannya semakin membengkak.

Jumaat, 16 Januari 2009

MENGUKIR KENANGAN BERSAMA YANG DIPERTUAN BESAR NEGERI SEMBILAN TUANKU MUHRIZ




Bertempat di Pejabat DYMM Tuanku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan di Jalan Penghulu Cantik, kami warga pemberita di Negeri Sembilan sempat merakamkan gambar kenangan bersama Tuanku Muhriz Ibni Al-Marhum Tuanku Munawir dan Tengku Aishah Rohani Bte Al-Marhum Tengku Besar Mahmud berserta dengan dua puteranya.

Kebetulan pada hari itu adalah Hari Ulangtahun Keputeraan baginda dan juga hari pertama Tuanku Muhriz berangkat memasuki pejabatnya sejak dimahsyurkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan pada 29 Disember 2008.


Pada hari itu juga diadakan majlis mengadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan oleh Menteri Besar dan Exco serta Ketua Jabatan. Kami warga media yang bertugas pada hari itu, tidak melepaskan peluang untuk turut serta bergambar setelah selesai tugasan kami.

Sebagai menyerikan suasana pada hari itu, Presiden KELANA, Encik Razali Pilus berserta dengan beberapa Ahli Jawatankuasanya menyembahkan kepada Tuanku Muhriz Kek yang sempat disediakan oleh Bendahari KELANA Encik Aris Abdullah.

Kami sempat berbual mesra bersama Tuanku Muhriz dan Tengku Aishah Rohani serta kedua puteranya setelah diperkenalkan oleh Razali seorang demi seorang di antara kami yang hadir pada hari itu.

Bertempat di Pejabat DYMM Tuanku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan di Jalan Penghulu Cantik, kami warga pemberita di Negeri Sembilan sempat merakamkan gambar kenangan bersama Tuanku Muhriz Ibni Al-Marhum Tuanku Munawir dan Tengku Aishah Rohani Bte Al-Marhum Tengku Besar Mahmud berserta dengan dua puteranya.

Kebetulan pada hari itu adalah Hari Ulangtahun Keputeraan baginda dan juga hari pertama Tuanku Muhriz berangkat memasuki pejabatnya sejak dimahsyurkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan pada 29 Disember 2008.

Pada hari itu juga diadakan majlis mengadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan oleh Menteri Besar dan Exco serta Ketua Jabatan. Kami warga media yang bertugas pada hari itu, tidak melepaskan peluang untuk turut serta bergambar setelah selesai tugasan kami.

Sebagai menyerikan suasana pada hari itu, Presiden KELANA, Encik Razali Pilus berserta dengan beberapa Ahli Jawatankuasanya menyembahkan kepada Tuanku Muhriz Kek yang sempat disediakan oleh Bendahari KELANA Encik Aris Abdullah.

Kami sempat berbual mesra bersama Tuanku Muhriz dan Tengku Aishah Rohani serta kedua puteranya setelah diperkenalkan oleh Razali seorang demi seorang di antara kami yang hadir pada hari itu.








Ahad, 4 Januari 2009

KASIH YANG TERINDAH

Masa berganti masa, hari berganti hari dan tahun berganti tahun. Begitulah seterusnya. Aku masih tetap aku, seorang insan yang masih diizinkan Allah untuk terus hidup di muka bumi ini. Alhamdulillah, Allah masih memberi kesempatan lagi untuk aku meneruskan kehidupan ini. Semoga aku tidak mempersiakan ruang-ruang waktu yang diberikan. InsyaAllah akan aku sentiasa mengingati mu Ya Allah di setiap saat perjalanan hidup ku ini. Setiap detik waktu, aku bermohon pada mu Ya Allah, agar diberikan kekuatan iman pada hamba mu ini, sentiasa mengingati mu dan diberkati kehidupan ku di dunia dan di akhirat.

Tahun 2008 meninggalkan kenangan yang menjadi lipatan sejarah dalam hidup ku. Setiap kepayahan yang dilalui mengajar aku erti cabaran, setiap kesedihan yang dilalui mengajar aku erti ketenangan, setiap kegagalan yang dilalui mengajar aku erti dugaan dan setiap kejayaan yang dilalui mengajar aku erti kesabaran. Walau setiap apapun yang aku lalui, aku tetap bersyukur kehadrat mu Ya Allah kerana kau masih memberikan aku nafas untuk terus hidup di muka bumi ini.

Teman-teman yang bersama berkursus dengan ku di IPTAR, sebenarnya, aku merindui kalian semua. Aku merindui gelak tawa dan lafaz bicara kalian semua. Bilakah lagi kita dapat berkumpul kembali bersama membicarakan setiap apa jua rasa hati. Cuma coretan bisu ini sahaja yang mampu memanjangkan persahabatan, namun masih belum mampu merungkai kemelut rindu yang melanda.

Semoga tahun 2009 ini, ada ruang waktu untuk kita bertemu kembali. Mengungkap kisah lalu yang terindah dalam persahabatan ini. Kita kongsikan kembali setiap bicara kita dan setiap kisah kita, agar menjadi penghias seri persahabatan ini walaupun nanti berlalunya biduk, namun kiambang tetap bertaut.

Selasa, 23 Disember 2008

APABILA SI COMEL BERTAHI LALAT



Manis kelihatannya apabila si comel ini bertahi lalat di muncung. Tertarik pula saya melihatnya dan cuba untuk menangkapnya tetapi kuching ini liar rupanya. Cuma jinaknya pada tuannya seorang sahaja yang sering memberikannya makan.

POKOK KELAPA BERTUNAS LAGI



Pernahkah anda melihat kelapa bertunas ketika pokoknya sedang membesar? Setahu saya bertunasnya cuma pada buah kelapa yang sudah tua. Tapi lain pula yang ini, dipangkal pokoknya tumbuh satu lagi tunas yang mungkin apabila besar nanti pokok kelapa ini akan bercabang.

Beginilah keadaanya pokok kelapa itu yang kini tumbuh subur di tanah bersebelahan rumah ibu ku di Kampung Jiboi Baru, Ampangan, Negeri Sembilan.

Kata ibu ku, kemungkinan, pokok asalnya (kakak) akan beralah dan membiarkan pokok baru (adik) membesar. Walau apapun kita lihat sedikit masa lagi, apakah akan terjadi seterusnya.

KIKI DALAM KENANGAN




Patah tumbuh hilang berganti. Tetapi yang patah dan yang hilang tidak sama dengan yang baru. Kali pertama menemuinya hati telah terpikat. Gelagatnya begitu melucukan dan kejinakannya menjadi satu tarikan kepada sesiapa jua yang mengunjungi Ladang Ternakan Rusa di Juasseh, Kuala Pilah.

`Kiki’ begitu istimewa diantara ratusan rusa yang diternak di ladang berkenaan. Membesarnya tidak dimanjai oleh ibu, malah ditinggalkan begitu sahaja tanpa dipedulikan walau sesaat pun. Kehidupan Kiki begitu terasing, sering bersendirian dan temannya adalah penjaga ladang yang telah membesarkannya ketika usianya enam hari dan disisihkan oleh ibu sendiri.


Tapi kini, Kiki telah tiada. Saya baru mengetahuinya sebaik sahaja menghubungi salah seorang penjaga ladang berkenaan pada petang tadi (23 Disember 2008). Kiki adalah diantara puluhan rusa yang disembelih sempena menyambut Hari Raya Puasa yang lalu. Dalam kumpulan rusa yang dimasukkan di rumah sembelih, rupa-rupanya Kiki ada di dalam kumpulan itu. Kesemua rusa-rusa itu sukar untuk dibezakan, kelihatan semuanya serupa. Tanpa disedari, Kiki turut disembelih. Disedari sebaik sahaja dagingnya mahu dilapah.

Alangkah terharunya penjaga Kiki yang sering memanjakannya sejak kecil lagi. Malah kehidupannya seperti sudah sebati dengan manusia. Namun, apalah daya, kelalaian yang berlaku telah mengorbankan Kiki yang merupakan satu-satunya rusa yang terlalu istimewa bagi ku di ladang itu.





Walaupun kini, ada `Timah’ yang telah dijinakkan di ladang itu, namun tidak sama dengan Kiki yang kejinakannya itu secara tersendiri.

Ahad, 23 November 2008

KASIH SEORANG SAHABAT

Dua tiga minggu ni fikiran celaru sikit. Tak tahulah kenapa? Mungkin juga disebabkan teman sekerja ku sudah berpindah ke jabatan lain. Rasa seperti kehilangan juga sebab selalu bersama dengan dia. Tak kira dalam apa waktu sekalipun, teman ku ini sering menemani aku terutama apabila tugasan ku hingga ke lewat malam. Kami sering berkongsi pendapat dan saling bantu membantu.

Berbelas tahun aku bersama dengannya. Susah dan senang selalu bersama. Seperti semangat ku hilang tiba-tiba. Mengambil masa lama juga untuk aku pulihkan kembali keadaan ku ini yang kadang-kadang terpaksa akur pada keadaan yang sama sekali tidak aku sangkakan.

Entahlah sering aku mengeluh sendirian, mencari di mana kesilapan sebenarnya.

Ku sangkakan panas hingga ke petang,
rupanya hujan di tengahari,
ku harapkan persahabatan kekal aman,
namun terbatas di pertengahan.

Begitulah keadaannya. sejak dia bertukar, aku langsung tidak menerima panggilannya, begitu jugalah di sebaliknya, bila aku call, panggilan aku tidak dijawap. Marahkah? Merajukkah? Dan macam-macam persoalan timbul. Tidakkah sedikitpun di hatinya teringatkan kisah-kisah lama sepanjang bersahabat bersama ku sehinggakan tiada sekelumitpun rasa rindunya pada seorang sahabat yang sentiasa mengingati dirinya?

Sepanjang persahabatan ku dengannya, aku mengganggapnya sebagai sahabat yang begitu rapat dengan ku. Apatah lagi bila aku mengenali ibu bapa dan seluruh keluarganya. Pernah terpanggil hati ku untuk melawatnya ketika keadaannya tidak sihat dan pernah aku menasihatinya apabila sesuatu tindakannya tersasar. Namun, pada luarannya ku lihat dia tidak pernah mengambil hati dengan setiap teguran ku. Tetapi di dalam hatinya aku tidak dapat menjangkakan apa sebenarnya yang berlaku.

Di akhir perpisahan kami, aku begitu terkilan kerana tiada salam perpisahan dihulurkan. Lidah seakan kelu untuk berkata-kata dan pandangan bagaikan sudah terlindung oleh jarak yang bersilang.

Walau apapun, sahabat ku, kau tetap aku ingati selalu. Sebagai seorang sahabat yang pernah dekat di hati ku. Akan aku kenang setiap budi baik yang dihulurkan. Kisah suka duka sepanjang bersama akan menjadi lipatan dalam sejarah hidup ku sebagai seorang sahabat yang pernah aku kenali suatu ketika dahulu.